Thursday, August 27, 2015

China, Jepun bersaing di Indonesia



AFP - DUA peragawati mempromosikan model kereta api laju buatan China yang dipamerkan di sebuah pasar raya di Jakarta pada 13 Ogos lalu.


JAKARTA – China dan Jepun bersaing sengit untuk membina landasan kereta api laju pertama Indonesia dengan dua gergasi Asia itu membuat pelbagai tawaran menarik untuk memikat Jakarta.
Persaingan mendapatkan projek mega tersebut menjadi sengketa baharu selepas China mencabar dominasi Jepun yang merupakan pembiaya infrastruktur utama di Asia Tenggara.
Jepun yang merupakan antara tiga pelabur terbesar di Indonesia dengan pegangan besar dalam sektor automotif dan perlombongan dilihat hampir pasti dipilih untuk membina landasan kereta api laju itu sebelum China mengemukakan tawaran balas awal tahun ini.
Presiden Indonesia, Joko Widodo menyemarakkan lagi persaingan antara dua seteru itu semasa melawat China dan Jepun pada April lalu untuk menarik pelaburan penting bagi membaik pulih infrastruktur usang di negaranya.
Ketika di Beijing dan Tokyo, Joko menaiki kereta api laju dan mengumumkan pembinaan sistem kereta api laju di Indonesia, dengan landasan sepanjang 160 kilometer menghubungkan Jakarta dan Bandung.
Tindakan Presiden Indonesia yang lebih dikenali dengan panggilan Jokowi itu menarik perhatian China dan Jepun.
“Biar mereka bersaing untuk melabur di Indonesia, ia bagus untuk kita. Ia ibarat seorang gadis yang dikejar ramai lelaki, gadis itu boleh memilih sesiapa sahaja yang dia suka,” kata Ketua Menteri Politik, Luhut Panjaitan.
Apabila siap kelak, landasan kereta api laju itu akan memendekkan waktu perjalanan antara Jakarta dan Bandung. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0827&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3jxjHE9ud 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment