Thursday, August 27, 2015

Iran tangguh tayangan filem Muhammad



AFP - GAMBAR yang dirakam pada 21 Januari 2013 menunjukkan seorang aktres Iran bekerja di set penggambaran filem Muhammad.


TEHERAN – Tayangan perdana filem Iran mengenai zaman kanak-kanak Nabi Muhammad ditangguhkan selama 24 jam semalam ekoran masalah teknikal, kata seorang jurucakap filem berkenaan.
Produksi mega itu menelan kos AS$40 juta (RM169.5 juta) dan mengambil masa lebih tujuh tahun untuk disiapkan.
Filem sepanjang 171 minit itu yang dibintangi oleh ramai pelakon popular Iran, dijadualkan ditayangkan di 140 pawagam di seluruh negara itu semalam, sehari sebelum penayangannya di Festival Filem Montreal, Kanada.
Bagaimanapun, filem itu akan ditayangkan di Teheran bermula hari ini, seperti di Kanada, kata jurucakap tersebut.
Media Iran melaporkan bahawa runut bunyi filem itu tidak bersesuaian dengan sistem bunyi sedia ada di pawagam-pawagam Iran sekali gus memaksa tayangannya ditangguhkan supaya masalah teknikal itu dapat dibaiki.
“Mereka yang membeli tiket lebih awal boleh menggunakan tiket ma­sing-masing dari hari ini hingga Rabu depan,” kata penerbit dan pengedar filem tersebut, Mohammad Reza Saberi kepada agensi be­rita ISNA.
Muhammad merupakan bahagian pertama daripada tiga buah filem tentang kisah hidup Rasulullah. Ia menceritakan peristiwa sebelum kelahirannya sehingga baginda me­ningkat usia remaja. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0827&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3jxjSmrvY 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment