Thursday, August 27, 2015

SKMM sekat laman web sebar propaganda Bersih 4.0

KHAMIS, 27 OGOS 2015 @ 3:38 PM

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat laman web yang mempromosi, menyebarkan maklumat dan menggalakkan orang ramai menyertai perhimpunan haram Bersih 4 kerana ia boleh mengganggu-gugat kestabilan negara. Dalam satu kenyataan hari ini, SKMM menyatakan langkah itu juga susulan kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung Bersih 4.o baru-baru ini. KDN menyatakan perhimpunan Bersih 4 didapati bergiat secara tidak sah dan mencetuskan kegelisahan serta membangkitkan kebimbangan orang ramai khususnya rakyat pelbagai kaum, agama dan keturunan di negara ini. "Bersih 4.o juga didapati menyebarkan propaganda untuk menghasut rakyat bagi tujuan negatif terhadap kerajaan dengan mengedarkan risalah-risalah tertentu yang boleh mendatangkan keburukan," menurut SKMM. SKMM menyatakan pelbagai kegiatan Bersih 4 juga memberi kesan buruk kepada imej negara. "Bahkan, Bersih 4 boleh mengancam dan menggugat ketenteraman awam, keselamatan, kemakmuran ekonomi serta kedaulatan negara selain menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia," menurut SKMM. Sehubungan itu, SKMM mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam berkongsi maklumat di laman-laman web dan media sosial terutama kandungan yang boleh menyalahi mana-mana undang-undang. Suruhanjaya itu juga meminta orang ramai membuat aduan jika mempunyai maklumat mengenai laman web dan media sosial yang menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan kestabilan negara, ketenteraman awam dan kestabilan ekonomi. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/77680

No comments:

Post a Comment