CLEVELAND 7 Ogos – Hartawan tanah terkenal, Donald Trump yang mengetuai pemilihan calon Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) bagi Parti Republikan, menunjukkan sifat buruk semalam ketika peserta pemilihan itu cuba menawarkan pendapat dan kritikan dalam debat utama pertama bagi pilihan raya yang akan diadakan pada tahun depan.
Bersama sembilan pesaing lain dalam pemilihan tersebut, Trump menonjolkan diri apabila menjadi satu-satunya peserta yang enggan berikrar akan menyokong pemenang pemilihan itu dan tidak akan bertanding sebagai calon bebas jika beliau kalah.
“Saya tidak akan membuat ikrar itu ketika ini,’’ katanya sambil dimarahi dan dikritik oleh penonton.
Majlis debat pertama itu merupakan satu permulaan luar biasa dalam usaha parti tersebut cuba mencari pemimpin yang akan mengetuai mereka bagi menggantikan Presiden, Barack Obama, enam bulan sebelum hari pengundian pertama,
Ketika majis tersebut tamat, Trump telah menggelar pemimpin dan ahli politik AS bodoh, mendakwa beliau memberikan wang kepada kebanyakan peserta pemilihan tersebut selain bertengkar dengan Senator, Rand Paul dan pengacara majlis.
Sifat Trump yang tidak akan meminta maaf dan gaya percakapan kasarnya menyinggung perasaan beberapa pihak.
Bekas Gabenor Florida, Jeb Bush mengakui harapan terhadapnya lebih tinggi kerana merupakan anak dan adik kepada dua presiden negara ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan mampu membuat polisi-polisinya sendiri.
Beliau menuduh Trump cuba menggunakan bahasa yang memecah-belahkan dan memberi amaran tindakan itu tidak akan membantu Parti Republikan menang dalam pilihan raya nanti. – AFP
No comments:
Post a Comment