JANATUL FIRDAUS YAACOB
25 OGOS 2015
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz Mohamed Nazri Aziz
BUKIT FRASER - Sekiranya tidak sukakan Perdana Menteri tunggulah sehingga pilihan raya kerana perkara ini bukan soal kehendak individu ia membabitkan suara majoriti rakyat,kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan,Datuk Seri Mohamed Nazri Abd Aziz.
Beliau turut mengingatkan ahli Umno yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat keputusan pada pemilihan Umno akan datang.
"Jadi kalau ada ahli Umno pun tak setuju tunggulah sewaktu pemilihan Umno yang akan datang nanti jika tak suka pun.
"Manakala rakyat kalau tak suka Perdana Menteri tunggulah pilihan raya sebab ini bukan soal kehendak seorang individu ini soal kehendak suara terbesar dan suara terbesar pada tahun 2013 telah menunjukkan mereka mahu kepada Datuk Seri Najib selaku Perdana Menteri kerana beliau Presiden kepada sebuah parti (Umno) serta mendapat kerusi terbesar dalam Dewan Rakyat," katanya kepada Sinar Harian, di sini hari ini.
Nazri turut mengingatkan pimpinan Umno yang berhasrat menggulingkan Perdana Menteri untuk menghentikan hasrat berkenaan dan bekerja untuk parti serta rakyat sehingga PRU14.
"Jadi hentikanlah, buatlah kerja kalau nak jatuhkan kerajaan pun buatlah cara yang dibenarkan iaitu menerusi pilihan raya," katanya.
Beliau menegaskan sekiranya wujud usaha untuk menggulingkan Perdana Menteri itu memang satu kesalahan di bawah kanun keseksaan.
"Sebab ia dilakukan dengan cara yang keras kerana seseorang yang dilantik, dipilih oleh rakyat tidak boleh diturunkan dengan cara yang tidak demokratik.
"Oleh itu, kalau guna cara itu ia adalah jenayah merupakan kesalahan di bawah kanun keseksaan dan tindakan boleh diambil," katanya.
Reaksi senada turut dizahirkan Penyelaras Adun BN Selangor, Mat Nadzari Ahmad Dahlan yang menyifatkan usaha untuk menggulingkan Perdana Menteri sebagai satu usaha yang tidak bermoral dan tidak bertanggung jawab serta melanggar sistem demokrasi.
"Seharusnya orang yang telah dipilih itu dibenarkan untuk terus menjalankan tugasnya dengan baik, tidak diganggu dengan cara yang tidak sopan dan tidak beradab agar kita betul-betul dapat memberi satu manfaat dan kejayaan kepada rakyat.
" Kita harus menunggu pilihan raya sebagai tempat untuk kita mengganti pemimpin yang kita mahukan," katanya.
No comments:
Post a Comment