Tuesday, August 25, 2015

PDRM Nafi Guna Senjata Renjat Terhadap Peserta Bersih


Diterbitkan: Selasa, 25 Ogos 2015 2:08 PM
Noor Rashid.

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid menafikan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan senjata renjat (taser gun) pada perhimpunan haram Bersih 4.0 hujung minggu ini.
"Tidak, kami tidak akan menggunakan alat tersebut semasa perhimpunan Bersih," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran laman web iSelamat.my di sini, Selasa.
Beliau berkata senjata renjat sudah berada di tangan mereka dan akan diedarkan kepada jabatan polis yang berbeza.
"Senjata renjat terbukti secara saintifik untuk melumpuhkan sementara penjenayah dan kami akan menggunakan alat tersebut pada masa akan datang apabila keadaan memerlukan," katanya.
Sebuah akhbar bahasa Cina, Oriental Daily memetik Noor Rashid pada Isnin sebagai berkata penunjuk perasaan mungkin akan dikejutkan dengan penggunaan senjata renjat jika rusuhan menjadi ganas.
"Dalam apa jua keadaan, polis akan mengikut prosedur operasi standard (SOP). Jika keadaan perlu dikawal, polis akan menggunakan senjata renjat untuk melumpuhkan sementara suspek seiring dengan SOP mereka," katanya.
Noor Rahsid turut menasihati orang ramai supaya memberikan kerjasama dan bertanggungjawab kerana polis menghormati hak kebebasan bersuara dan berhimpun.
"Kami akan memudahkan tapi jika mereka melanggar undang-undang, kami akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka," katanya.
Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) akan mengadakan perhimpunan keempat pada 29 dan 30 Ogos ini bagi menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Perhimpunan tersebut akan diadakan di Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak bermula 2 petang, Sabtu ini.
Polis menyifatkan perhimpunan tersebut sebagai haram.

No comments:

Post a Comment