Tuesday, August 25, 2015

Yazid adakan usrah di rumahnya


24 OGOS 2015


KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat mengadakan beberapa sesi usrah di ruang tamu rumahnya dengan pintu berkunci.

Inspektor Shafez Adil, dari Cawangan Khas Bukit Aman, memberitahu mahkamah bahawa perkara itu dimaklumkan kepadanya melalui seorang pemberi maklumat yang menghadiri sesi itu pada 21 Julai 2012.

"Di dalam rumah itu, Yazid dilihat duduk menghadap jemaah lain yang jumlahnya tak lebih 10 orang," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

Kata Shafez, beliau mengarahkan pemberi maklumat yang juga merupakan saksi terlindung untuk merakam segala kegiatan usrah itu dalam keadaan sembunyi namun audio dan percakapan di dalam usrah itu jelas.

Beliau juga berkata saksi itu akan menghubunginya sehari sebelum setiap kali usrah diadakan.

"Setiap kali bertemu dengan saksi berkenaan, saya akan memberikan alat perakam audio untuk merakam segala kegiatan usrah tersebut.

"Saksi memberitahu bahawa keadaan terkawal dan selamat ekoran Yazid tidak membuat pemeriksaan terlebih dulu terhadap anggota jemaahnya sebelum memasuki dan menyertai usrah berkenaan," katanya.

Shafez berkata kesemua rakaman percakapan dipindahkan ke dalam komputernya sebelum dipindahkan ke dalam bentuk cakera padat.

Shafez, merupakan saksi ke-19 dalam perbicaraan kes Yazid, 51, dan pembantu kafetaria, Muhammad Hilmi Hasim, 35.

Yazid berdepan dua tuduhan menggalakkan keganasan dengan niat mengugut orang awam di Syria dan menjadi anggota kumpulan Tanzim  Al-Qaeda Malaysia, manakala Muhammad Hilmi didakwa bersubahat dengannya.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Amer Hamzah Arshad. Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Azman Husin bersambung esok. -  Bernama

No comments:

Post a Comment