ALOR SETAR - Populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pemimpin nombor satu negara semakin merosot.
 
Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, ia bermula selepas kemelut 1MDB dan rombakan Kabinet yang menggugurkan bekas Timbalannya, Tan Sri Muhiyddin Yassin.
 
“Orang Umno akan kekal Umno, tetapi protes mereka terhadap tindakan Najib dilihat secara ilmiah akan beri kesan besar kepada pola persepsi akar umbi dan mengurangkan pengaruh positif Umno dalam masyarakat.
 
“Umno juga berada di tahap dilema protes dalam senyap atau protes sambil senyum. Walaupun Najib sebagai presiden parti boleh menamatkan hayat kerjaya seseorang ahli politik di bawahnya tetapi hayat cemuhan rakyat dan minda pengundi akan kekal berterusan,” katanya.
 
Menurutnya, Najib mungkin hanya melihat kepada sokongan ketua bahagian dan ahli jawatankuasa bahagian, perwakilan di persidangan jarang sekali akan bersikap biadab kepada tetamu terutama pemimpin utama parti.

“Tetapi di peringkat cawangan, saya melihat sudah ada seolah-olah gejala protes dalam senyap. Kita perlu lihat senario protes senyap dalam kalangan ahli Umno peringkat cawangan kerana inilah paling bahaya.

“Lemahnya Najib akan membawa bersama kegoncangan Umno dari dalam apabila keluhan peringkat cawangan sering tidak mendapat perhatian pembesar negara menjadi faktor penentu kedudukan jentera Umno bawahan,” katanya.

Beliau berkata, protes dalam senyap itu akan memberi kejutan besar kepada Umno dan BN menjelang PRU14 apabila situasi semasa masih gagal dibendung.

“Saya dapati sudah ada cawangan Umno yang berani mengusulkan dalam persidangan mengenai ketidakyakinan mereka terhadap kepimpinan Najib.

“Bayangkan apa kesannya pada parti jika sayap cawangan yang juga jentera politik Umno peringkat komuniti menzahirkan keluhan mereka kepada pihak atasan,” katanya.
 
Beliau menjelaskan, Najib tidak harus melihat sokongan kumpulan ketua bahagian sudah memadai.

“Ribuan cawangan Umno peringkat komuniti bawahan ini ada kuasa dan pengaruh utama dalam meruntuh atau menjayakan Umno perlu ditambat hati mereka,” katanya