Thursday, August 6, 2015

Tiada 'Tangan Ghaib' Arah Siasat SPRM - Bukit Aman


Diterbitkan: Khamis, 6 Ogos 2015 5:24 PM
Noor Rashid Ibrahim

KUALA LUMPUR: Bukit Aman menyangkal dakwaan adanya 'tangan ghaib' yang terbabit dalam siasatan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, fokus pihaknya adalah berkaitan dakwaan kebocoran maklumat yang melanggar satu seksyen mengikut Akta Institusi Kewangan dan Perbankan (Bafia).
"SPRM boleh dan akan meneruskan siasatan mereka.
"Kami tidak mengganggu siasatan yang mereka jalankan," katanya kepada pemberita di Bukit Aman di sini ketika lawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Masir Anak Kujat.
Noor Rashid mengulas penahanan beberapa pegawai SPRM dan serbuan di pejabat suruhanjaya itu sejak minggu lalu.
Susulan penahanan itu, Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Bahari Mohammad Zin berkata, pihak polis tidak akan bertindak sedemikian kecuali adanya 'tangan ghaib' yang mengarahkan mereka berbuat demikian.
Noor Rashid berkata, polis bukan sahaja menyiasat kebocoran maklumat berkaitan draf kertas pertuduhan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tetapi juga maklumat berkaitan data perbankan yang menyalahi Bafia.
Beliau berkata, polis menjalankan siasatan mengikut fakta dan jika ia memberi petunjuk kepada Bank Negara atau pihak bank pihaknya akan menyiasat pihak berkenaan juga.

No comments:

Post a Comment