Wednesday, September 30, 2015

Snowden muncul di Twitter

MESEJ pertama Snowden di Twitter. - Foto EPA
WASHINGTON: Edward Snowden kini muncul daripada persembunyian - di Twitter. Snowden, bekas kontraktor Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) yang mendedahkan butiran program pengintipan Amerika Syarikat, membuka akaun Twitter dari tempat persembunyiannya di Russia dengan menggunakan nama mudah - @Snowden.
Beliau menarik lebih 171,000 pengikut selepas kira-kira sejam dan meningkat kepada 740,000 pengikut menjelang petang. Namun Snowden hanya mengikuti satu akaun Twitter, iaitu bekas majikannya.
"Sementara itu, ribuan orang di Fort Meade baru membuka Twitter," kata Snowden, merujuk Pangkalan Tentera Darat AS di Maryland yang menjadi ibu pejabat NSA.
Mesej pertama Snowden di Twitter ialah: "Bolehkah anda mendengar saya sekarang?" Mesej itu yang meminjam kata-kata dalam iklan televisyen sebuah syarikat pengendali rangkaian telefon, dikongsi semula 25,000 kali dalam tempoh sejam.
Dalam profil akaun Twitter, Snowden menggambarkan dirinya sebagai "Saya pernah bekerja dengan kerajaan. Sekarang saya bekerja untuk orang awam."
Penyokong beliau melihat Snowden sebagai pendedah perbuatan keterlaluan kerajaan tetapi kerajaan AS memfailkan dakwaan pengintipan terhadap beliau kerana membocorkan maklumat risikan. - Reuters
EDWARD Snowden muncul pada sidang video yang disiarkan secara langsung dari Moscow pada satu acara di Honolulu pada Februari lalu. - Foto AP

Pakai topeng elak tekanan kerja


30 September 2015 2:19 AM




HANGZHOU 29 Sept. – Sebuah syarikat pembangunan di Hangzhou, timur China membenarkan kakitangannya memakai pelbagai jenis topeng muka bagi membantu diri mereka berasa lebih yakin dan mengendalikan tekanan apabila berurusan dengan pihak atasan.
Kakitangan firma Songcheng Performance Development yang mengendalikan sebuah taman tema perfileman terbesar di Zhejiang, dibenarkan berbuat demikian sempena hari mengurangkan tekanan, ‘De-stress Day’ yang diadakan pada 23 September lalu.
Menurut portal Mail Online, pelbagai jenis topeng termasuk watak kartun Angry Bird dan Minion dipakai oleh kakitangan syarikat bagi membina keyakinan diri yang lebih tinggi.
Seorang pengurus yang enggan dikenali berkata, program tersebut ternyata membuahkan hasil apabila ramai kakitangan lebih berkeya­kinan apabila berdepan dengan bos masing-masing.
Jelasnya, dia berharap idea ber­kenaan akan membantu kakitangan berasa selesa apabila bertugas terutamanya pada sesi membentangkan pendapat ketika mesyuarat.
“Melalui aktiviti ini, kakitangan boleh menrasai keseimbangan antara kerja dan berhibur.
“Program ini dapat membantu mereka menangani tekanan di tempat kerja,” katanya.
Program itu turut mendapat maklum balas positif daripada pengguna laman sosial Weibo yang ­menyifatkan kakitangan syarikat berkenaan memiliki manfaat yang baik kerana boleh menyembunyikan muka.
“Pihak atasan syarikat itu tidak perlu menunjukkan sebarang emosi terutamanya perasaan marah apabila mereka bermesyuarat bersama. Mereka hanya boleh membuat muka selamba sahaja,” jelas seorang pengguna Weibo.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pakai-topeng-elak-tekanan-kerja-1.141323#sthash.eLA2p70p.dpuf

Tuesday, September 29, 2015

Khir Toyo Dipenjara Setahun


Diterbitkan: Selasa, 29 September 2015 2:23 PM
Dr Mohamad Khir Toyo.

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini menjatuhkan hukuman penjara selama setahun terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo atas pertuduhan menggunakan kuasanya untuk memperoleh tanah dan sebuah banglo di Shah Alam.
Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang mempengerusi panel lima hakim itu membuat keputusan tersebut atas alasan Dr Khir melakukan satu jenayah dalam pengetahuannya sebagai seorang penjawat awam.
Panel membuat keputusan itu selepas memutuskan hukuman penjara adalah paling sesuai dalam kes berkenaan manakala hukuman khidmat kerja masyarakat adalah tidak memadai.
Dr Mohamad Khir kelihatan tenang ketika hukuman itu dibacakan.
Terdahulu, peguam Dr Mohamad Khir iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah meminta mahkamah tidak memenjarakan anak guamnya tetapi sama ada mengenakan denda atau memerintahkan dia menjalani program khidmat masyarakat.
Pada 22 September lalu, panel itu mengekalkan sabitan bersalah terhadap Dr Mohamad Khir selepas menolak rayuannya.
Mahkamah turut mengekalkan keputusan melucut hak hartanah itu dan diserahkan kepada kerajaan tertakluk kepada caj oleh pihak bank.

Dr Mohamad Khir sebelum ini dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Disember 2011 dan hukuman itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 30 Mei 2013.

Melalui penghakiman dibacakan Kok Wha pada 22 September lalu, panel mencapai keputusan itu berdasarkan beberapa alasan antaranya pertuduhan yang dibuat ke atas Dr Mohamad Khir tidak mempunyai sebarang kecacatan dan beliau selaku menteri besar, adalah seorang penjawat awam ketika kesalahan itu dilakukan.

Dr Mohamad Khir dituduh mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 50 suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8 & 10, Jalan Suasa, Jalan Suasa 7/1L di sini daripada Ditamas Sdn Bhd melalui Pengarahnya, Datuk Shamsuddin Hayroni.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 Shah Alam pada 29 Mei 2007.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pampasan RM120 hingga RM260 tidak munasabah


WARTAWAN SINAR HARIAN
Pampasan RM120 hingga RM260 tidak munasabah

29 SEPTEMBER 2015
Pampasan RM120 hingga RM260 tidak munasabah Kumpulan peneroka terlibat berhimpun menghalang sebarang kerja penebangan pokok selagi bayaran pampasan tidak mencapai kata persetujuan.

JENGKA - Peneroka Felda dekat sini menyifatkan bayaran RM120 hingga RM260 sepokok sebagai pampasan kebenaran ‘izin lalu’ untuk projek Talian Penghantaran Elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah tidak munasabah.

Projek talian 132KV (double curcuit) dari PMU Kampung Awah ke PMU Jengka itu akan merentasi ladang kelapa sawit anggaran seluas 570 ekar yang dimiliki 57 peneroka di kawasan Felda Jengka 11, 14, 18, 19 dan 20.

Seorang peneroka terlibat, Mohd Ayob Shahri, 55, mendakwa harga yang ditawarkan TNB jauh lebih murah berbanding permintaan peneroka iaitu RM1,000 sepokok.

Menurutnya, harga RM1,000 itu adalah harga terakhir yang dipersetujui peneroka dengan khidmat nasihat peguam walaupun permintaan asal adalah RM2,200 sepokok.

“Projek ini dimaklumkan kepada peneroka pada 2013 dan kami memberi keizinan dengan syarat TNB membuat bayaran pampasan setimpal. Sudah pasti ia merupakan projek kekal maka tidak masuk akal sekiranya TNB hanya mahu membayar paling tinggi RM260 sepokok.

“Kebanyakan pokok sawit terlibat sudah berusia lapan tahun dan kami akan kehilangan pokok ini selama-lamanya malah tidak dibenarkan untuk melakukan sebarang aktiviti pertanian di bawah laluan kabel itu nanti,” katanya.

Mohd Ayob berkata, TNB melakukan pembayaran pertama pada Julai 2013 dan peneroka menerima pampasan tersebut tetapi dengan bantahan selepas mendapat nasihat peguam dan pihak Pejabat Tanah dan Daerah Maran.


Desakan peneroka

Menurutnya, desakan terus dibuat peneroka dan pada April lalu hasil campur tangan Pihak Berkuasa Negeri, pihak TNB bersetuju melakukan pembayaran ihsan sebanyak 10 peratus dariPada bayaran pertama.

“Harga sepokok bagi bayaran pertama dan ihsan 10 peratus ini masih rendah iaitu sekitar RM300 sepokok berbanding harga permintaan peneroka, RM1,000 sepokok,” katanya.

Seorang anak peneroka, Abdul Shukor Abu Bakar, 37, berkata, dia yang mewakili bapanya menerima bayaran pertama sebanyak RM36,140 untuk 139 pokok.

Menurutnya, pihak TNB turut membeli tanah bagi kawasan pokok sawit terlibat berharga RM23,328 untuk keluasan 1.885 hektar.

“Saya dan peneroka lain tiada pilihan dan kerana nasihat peguam, kami terpaksa menerima bayaran pampasan pertama dan ihsan walaupun harga dibayar sangat rendah.

“Pihak Kerajaan Negeri perlu campur tangan bagi membela nasib peneroka agar kami mendapatkan pampasan setimpal,” katanya.


Tidak halang projek

Sementara itu, Ketua Kampung Felda Jengka 19, Ramly Ahmad berkata, peneroka tidak menghalang projek berkenaan dengan memberi keizinan pada kadar pampasan RM1,000 sepokok dan TNB perlu membeli tanah terlibat agar peneroka tidak dibebani membayar cukai tanah.

Menurutnya, perkara tersebut diputus bersesuaian dengan risiko dihadapi peneroka apabila bakal kehilangan lebih 100 pokok sawit dan tiada hak ke atas tanah terbabit.

“Sememangnya peneroka tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan yang dibayar TNB kerana dilihat seperti membodohkan orang Felda. Sesiapa pun tidak akan setuju jika harga RM120 hingga RM260 sepokok, sangat tidak munasabah malah harga pengambilan tanah juga murah.

“Kami berharap pihak TNB membuat pertimbangan rasional  kerana setiap pokok kelapa sawit memberi pulangan hasil sehingga tempoh 25 tahun,” katanya.

Bishop kempen tubuh tribunal siasat MH17


Menteri Luar Australia, Julie Bishop
Julie Bishop
NEW YORK 28 Sept. – Menteri Luar Australia, Julie Bishop (gambar) meningkatkan kempennya untuk menubuhkan sebuah tribunal jenayah bebas sebagai satu cara terbaik untuk mencari keadilan bagi mangsa-mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17.
Portal berita sbs.com.au me­laporkan, kempen yang dilakukan Bishop itu bagi memastikan mereka yang bertanggungjawab terhadap nahas pesawat MH17 dibawa kemuka pengadilan.
“Keadilan yang lewat adalah satu kegagalan,” kata Bishop kepada AAP di New York sebelum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bermula hari ini.
Beliau esok dijangka bertemu dengan wakil-wakil dari Belgium, Malaysia, Belanda, dan Ukraine.
Mesyuarat peribadi gabungan pemimpin siasatan bersama itu akan mempertimbangkan cara terbaik bagi membawa pesalah ke muka pengadilan.
Seramai 38 warga Austra­lia adalah antara 298 penum­pang dan anak kapal yang terkorban apabila pesawat MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine pada Julai tahun lalu.
Bishop bagaimanapun tidak membangkitkan isu itu ketika bertemu Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov di New York, semalam.
“Sebaik-baik sahaja kita memiliki pendirian yang jelas, maka tiba masanya untuk berbincang dengan Rusia.
“Kami percaya pilihan yang terbaik ialah sebuah tribunal jenayah bebas yang disokong Majlis Keselamatan PBB,” katanya.
Rusia menggunakan kuasa vetonya menyekat usul penubuhan sebuah tribunal sebelum ini dengan alasan perlu menunggu sehingga semua laporan insiden tersebut lengkap.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/bishop-kempen-tubuh-tribunal-siasat-mh17-1.141016#sthash.7KEoVxQv.dpuf

Monday, September 28, 2015

Gaji Pembantu Rumah Warga Filipina AS$400 Sebulan - Malaya


Diterbitkan: Isnin, 28 September 2015 9:38 AM
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Kadar gaji minima sebanyak AS$400 untuk pembantu rumah warga Filipina perlu dipatuhi, tanpa mengira nilai pertukaran mata wang.
Duta Filipina ke Malaysia, J. Eduardo Malaya berkata majikan pembantu rumah warga Filipina dikehendaki membayar jumlah yang sama dalam mata wang tempatan, negara mereka bertugas.
"Adalah tidak adil sekiranya rakyat kami mendapat gaji rendah di sini (Malaysia). Gaji minima untuk pembantu rumah warga Filipina ditetapkan sebanyak AS$400 sebulan di mana sahaja," katanya selepas menyaksikan perjanjian perkongsian antara PLTD Malaysia dan iFlix Sdn Bhd semasa perasmian perkhidmatan TV dalam talian mereka.
Malaya berkata majikan di sini terpaksa membelanjakan wang berlebihan berikutan nilai mata wang ringgit susut lebih 20 peratus berbanding dolar sejak akhir-akhir ini.
"Sebelum ini, majikan Malaysia hanya membayar RM1,200. Kini mereka terpaksa membelanjakan kira-kira RM1,700," katanya.
Malaya berkata kedutaan itu telah memaklumkan kepada agensi buruh di Malaysia supaya mematuhi had gaji minima tersebut.
Sementara itu, mengenai perjanjian perkongsian itu, beliau berkata perkhidmatan iFlix disertai dengan aplikasi mudah alih yang membolehkan pengguna untuk mengakses rancangan TV kegemaran mereka menerusi telefon pintar.
"Ia disambut baik rakyat Filipina yang bekerja di sini. Dengan menonton iFlix, mereka berpeluang menonton rancangan kegemaran mereka di kampung halaman secara langsung menerusi telefon pintar mereka," katanya.
Malaya menyambut baik perkhidmatan baharu itu dengan menyifatkan ia sebagai satu lagi peristiwa bersejarah dalam perkongsian perniagaan antara Malaysia-Filipina.

Khairuddin fail cabar penahanan di bawah SOSMA


BEKAS Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan. - Foto Muhammad Mikail Ong
KUALA LUMPUR: Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, memfailkan permohonan habeas corpus (penahanan salah) bagi mencabar penahanan beliau mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) atas cubaan mensabotaj dan menjejaskan negara.
Notis Permohonan habeas corpus itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi sebentar tadi melalui peguamnya, Fahmi Abdul Moin.

Sempat selfie dengan PM Turki


New York: Perdana Menteri Turki Ahmet Davutoglu menemui remaja Amerika yang ditahan baru-baru ini selepas jam buatannya disangka bom oleh guru sekolahnya.

Ahmet menemui Ahmed Mohamed, 14, di New York pada acara dianjurkan Yayasan Turken yang membantu pelajar Turki di Amerika Syarikat (AS), Jumaat lalu, ketika pemimpin itu menghadiri mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di kota berkenaan.


Ayah Ahmed, Mohamed Elhassan Mohamed berkata, dia sekeluarga berterima kasih atas sokongan pemimpin Turki itu.

“Apa yang berlaku kepada anak saya memang tidak masuk akal. Dia dituduh semata-mata kerana beragama Islam,” katanya.

Pelajar itu sempat mengambil selfie bersama Ahmet dan isterinya Sare.

Ahmed yang keluarganya berasal dari Sudan digari, ditahan dan diambil cap jari oleh polis pada 16 September lalu selepas jam buatannya dibawa ke sekolah disangka bom.

Ahmed mendapat sokongan beberapa pemimpin termasuk Presiden Barack Obama yang menjemputnya ke Rumah Putih. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2015 @ 5:39 AM

AHMET dan isterinya bergambar dengan Ahmed (tengah).
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/80699#sthash.bLkAff23.dpuf

Biar kami hidup merempat’


WARTAWAN SINAR HARIAN
‘Biar kami hidup merempat’

28 SEPTEMBER 2015
‘Biar kami hidup merempat’ Kelihatan pasangan suami isteri berkenaan melepaskan penat menumpang tidur di sebuah surau di pekan Tampin.


TAMPIN - Tidur atas lantai beranda surau tanpa sebarang alas, itulah yang dilalui setiap hari oleh sepasang suami-isteri di pekan Tampin, di sini.

Seawal jam 5 pagi pula, mereka akan berlegar-legar di Taman Rekreasi Tampin sehingga lewat malam.

Tiada pendapatan tetap, sebaliknya bergantung pada bantuan bulanan RM140 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjadi punca mereka terpaksa menumpang tidur di surau.
Sinar Harian cuba mendekati isi hati pasangan berkenaan untuk mengetahui kisah sebenar sehingga mereka berkeadaan begitu.

Menurut si isteri yang mahu dikenali sebagai Nurul, 47, mereka terpaksa melalui rutin seperti itu kira-kira dua minggu lalu.

Malah, katanya, dia hampir mengalami tekanan perasaan kerana tiada kediaman tetap.

“Kami terpaksa tidur di beranda surau. Itu pun waktu tengah malam, bila orang dah tak ada. Bangun pula jam 5 pagi sebab tak mahu ada orang marah kami.

“Apa lagi yang kami boleh buat, kami tak ada tempat tinggal. Keluarga pun dah tak mahu kami tinggal bersama mereka,” katanya ketika ditemui di pekan Tampin, semalam.

Nurul berkata, mereka membawa bersama beberapa helai pakaian, dokumen penting dan beg yang dijadikan bantal ketika tidur, sementara menumpang tandas awam untuk mandi sejak dua minggu lalu.

Menurutnya, sebelum suaminya yang berusia 56 tahun diserang strok setengah badan, suaminya pernah berniaga kecil-kecilan menjual capal sebagai sumber pendapatan.

“Kami sudah tiga tahun berkahwin dan saya tak sanggup tinggalkan suami macam ini. Bahagian badan kanan suami saya juga sering kejang.

“Saya bimbang nasib kami terutama suami, sebab kami tak ada rumah. Pernah juga saya tanya JKM sama ada kami boleh dapat tempat tinggal, tapi mereka suruh kami duduk di rumah kebajikan berlainan.

“Tapi saya tak mahu berpisah dengan suami.  Jadi, saya fikir biarlah kami merempat seperti ini daripada berpisah,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Restoran Santapan Impian, Mohd Shahri Mohamad, 32, berkata, kira-kira dua minggu lalu, pasangan suami isteri itu ada bertanya kepadanya untuk menyewa tempat tinggal.

Bagaimanapun, katanya, nasib tidak menyebelahi pasangan itu kerana tiada tempat tinggal kosong.

Sejak itu, katanya, dia sering melihat pasangan itu berkeliaran di pekan Tampin dan pernah terlihat mereka tidur di sebuah pondok berhampiran taman rekreasi.

“Tengah hari semalam (kelmarin) saya terkejut bila jumpa mereka menangis di belakang restoran ini. Mereka sudah dua hari tak makan dan saya pelawa mereka makan.

“Saya amat harap mereka ini dibantu lebih-lebih lagi si suami yang sakit dan terpaksa menumpang tidur di tempat awam,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Tampin, Mohd Zamry Abulis ketika dihubungi berkata, JKM akan menyiasat kes berkenaan dan mengambil tindakan mengikut garis panduan ditetapkan.

Calon Presiden AS lupa Muslim juga pengundi


Calon Presiden AS lupa Muslim juga pengundi

27 SEPTEMBER 2015
Calon Presiden AS lupa Muslim juga pengundi

AMERIKA SYARIKAT - Susulan situasi yang terpalit kepada dua calon Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Ben Carson baru-baru ini, masyarakat Muslim di negara itu mula melahirkan reaksi kecewa atas suasana tersebut yang mula dilihat sebagai agen gelombang Islamophobia.

Tekanan sudah semakin menggunung di Islamic Institute of Orange County apabila  muncul sekumpulan lelaki berkulit putih menjerit kepada ibu-ibu dan kanak-kanak yang tiba di pusat itu sempena hari peringatan serangan 11 September 2001.

Kata-kata yang dilemparkan antaranya menyebut mereka pengecut dan tidak diterima di AS, lapor Reuters.

Kebanyakan negara Muslim melahirkan pandangan bahawa tekanan seumpama itu akan menjadi bertambah buruk ketika proses pemilihan presiden.

“Ia agak bermasalah apabila calon presiden membuat dakwaan seperti itu,” kata Zuhair Shaath yang merupakan rakyat Palestin-Amerika merujuk kepada kenyataan Carson yang menyatakan bahawa orang Muslim tidak layak bertanding untuk menjadi presiden AS.

Sebelum itu, Trump dikecam gara-gara gagal menepis kenyataan salah seorang penyokongnya yang melabelkan Presiden AS, Barack Obama sebagai orang Islam dan bukan warganegara AS.

Trump dari parti Republik kemudiannya menjelaskan bukan tugasnya untuk membela Obama.

Malah beliau tidak menyesal atas perlakuannya dengan menegaskan melalui Twitternya bahawa jika perkara sama berlaku terhadapnya, tidak mungkin Obama akan membelanya.

Kenyataan kedua-dua calon itu muncul selepas seorang pelajar berusia 14 tahun dari Texas, Ahmed Mohamed ditahan hanya kerana membawa jam buatannya sendiri ke sekolah.

Pengarah Eksekutif Majlis Hubungan Islamik Amerika, Nihad Awad menggesa agar Carson menarik diri daripada bertanding kerana sikapnya tidak melayakkannya untuk memimpin susulan pandangannya yang tidak selari dengan Perlembagaan AS.

Abdallah Soueidan dari kejiranan Anaheim yang turut dikenali sebagai ‘Little Arabia’ berkata, kenyataan dari Carson itu jelas boleh menimbulkan masalah.

Sementara anak lelakinya, Radwan, 18 berkata, walaupun sering membawa tentang anti Muslim di internet, namun beliau tidak faham apabila calon presiden mengeluarkan kenyataan seumpama itu.

“Ia kedengaran tidak seperti rakyat AS langsung,” katanya.

Sementara pelajar di Lubbock, Texas, Aicha Fokar, 20, berkata, kenyataan Carson melemahkan semangat orang Muslim dari golongan muda daripada menegakkan hak mereka atau merasa bangga dengan kepercayaan mereka.

“Calon-calon ini hanya bercakap untuk meraih undi sebanyak mungkin. Saya tak fikir mereka faham apa yang berlaku kepada kami. Malah mereka juga tidak faham bahawa kami juga pengundi,” katanya.

Ahli Parlimen bawa anak dalam dewan


MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
Ahli Parlimen bawa anak dalam dewan

27 SEPTEMBER 2015
Ahli Parlimen bawa anak dalam dewan Gambar-gambar yang dirakamkan menunjukkan Ronzuli bersama anaknya dalam dewan Parlimen. Foto Reuters

ROME - ITALI. Seorang Ahli Parlimen Marche, Itali, Licia Ronzuli membawa kelainan ke Parlimen iaitu membawa anaknya hampir ke setiap persidangan.

Pada tahun 2010, ahli parlimen itu mengejutkan ramai pihak apabila tampil di Parlimen Kesatuan Eropah (EU) dengan membawa bayinya, Vittoria Cerioli yang berusia sebulan ketika itu.

Sejak itu, kelibat beliau dan anaknya sering menjadi perhatian dan jurugambar juga merakam gambar mereka berdua, selain itu mereka juga sering memakai pakaian sedondon.

Penampilannya yang pertama di parlimen menyaksikan beliau memakai pengendong bayi.

Ronzuli ketika ditemubual AFP berkata, sebelum ini pelbagai perkara yang dibahaskan dan diperjuangkannya di Parlimen kurang mendapat perhatian media, namun sejak kemunculan beliau dan anaknya di Parlimen beliau menjadi tumpuan media.

"Sejak saya membawa bayi ke Parlimen secara tiba-tiba semua lensa tertumpu kepada kami," katanya.

Telatah Vittoria yang sering men‎gikut gerak-geri ibunya itu mencuri tumpuan ramai.

Siri gambar yang dirakam kebanyakannya menunjukkan mereka berdua mengangkat tangan tanda sokongan terhadap perkara yang diusulkan.

Lantas aksi mereka berdua sering menjadi tumpuan media tatkala sidang Parlimen berlangsung.

Ronzuli memulakan kerjayanya sebagai jururawat di Hospital Milan dan Bangladesh, kemudian menjadi pengarah hospital sebelum membuat keputusan untuk menceburi bidang politik.

Beliau yang bertanding menerusi parti The People Of Freedom, menang pilihan raya pada tahun 2008.

Ronzuli ketika bercakap kepada media Itali berkata, keputusannya membawa bayi ke Parlimen bukanlah gimik politik sebaliknya ingin menunjukkan kepentingan hubungan ibu dan anak.

"Saya ingin mengingatkan dan menegaskan yang tidak semua ibu berpeluang menjaga anak seperti saya lebih-lebih lagi ketika masih menyusu," katanya.

Dalam pada itu Parlimen menetapkan bahawa Ronzuli bebas membawa anaknya ke parlimen selagi tidak mengganggu ahli Parlimen bersidang.

Thursday, September 24, 2015

Mi Goreng Laris, Abdul Karim Tidak Menang Tangan


Diterbitkan: Khamis, 24 September 2015 8:00 AM
Pelanggan beratur sementara menunggu mi goreng 'Abdul Karim' siap dimasak.

GEORGE TOWN: Mi goreng mamak hasil air tangan warga emas, Abdul Karim Pakir mendapat sambutan hangat di kalangan penduduk Pulau Pinang selepas kisahnya disiarkan dalam akhbar The Star.
Kebiasaannya, beliau hanya menjual lebih 20 pinggan mi goreng setiap hari.
Namun, semasa waktu makan tengah hari Rabu, peniaga berusia 92 tahun itu tidak menang tangan kerana permintaan terhadap mi gorengnya bertambah.
"Pada hari biasa, ada kalanya saya mendapat tidak sampai 20 pelanggan. Saya gembira kerana dapat menjual lebih banyak mi goreng hari ini.
"Saya sibuk tetapi ia sesuatu yang memuaskan hati," katanya ketika ditemui di gerainya di Tamil Street.

Salah seorang pelanggan baharu, Sanjay CS, 42, membeli tujuh bungkus mi goreng selepas menikmati dua pinggan mi tersebut bersama ibu dan jirannya.
"Kami memutuskan untuk memberi sokongan kepada Abdul Karim selepas membaca kisahnya di dalam akhbar The Star.
"Semangatnya patut dipuji kerana beliau tidak berhenti berniaga disebabkan faktor usianya dan hanya mendapat keuntungan minima dengan mengenakan harga RM2.50 untuk sepinggan mi goreng," kata Sanjay yang juga pengasas UnityPenang.
Seorang ahli perniagaan, Tan Chin Chin, 35, turut membawa rakannya yang bekerja di luar kawasan untuk menikmat mi goreng tersebut selepas membaca mengenai kisah peniaga tersebut di dalam akhbar Bahasa Inggeris itu.
Tan berkata beliau sentiasa terlepas gerai tersebut walaupun sering melalui kawasan berkenaan dan berhasrat untuk mencuba mi goreng hasil tangan chef berusia 92 tahun itu.
"Melihat kepada cara beliau memasak, anda boleh lihat ia bukan mudah untuknya pada usia itu. Namun agak seronok melihatnya mengendalikan gerai itu selama beberapa dekad," katanya.
Seorang pelanggan yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, 45, berkata harga mi goreng tersebut amat berbaloi dengan wang anda.

"Pada RM2.50, ia harga yang sukar untuk ditolak. Saya memandu dari Batu Lanchang selepas terbaca kisah peniaga ini," katanya.
Seorang pembaca turut menulis kepada The Star dan menawarkan untuk memasang lampu di gerai milik warga emas itu selepas peniaga berdekatan memberitahu gerai Abdul Karim akan bergelap pada waktu malam kerana tiada lampu.
Exco Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Felix Ooi berkata pegawai MBPP kebiasaannya akan melakukan rondaan setiap hari tetapi aduan boleh dibuat di hotline 04-2637637 dan isu tersebut akan ditangani jabatan kejuruteraan mereka.

Monday, September 7, 2015

Beruk jantan gemparkan sesi pengajian pondok



SEEKOR beruk terlepas memasuki surau di Pondok Bukit Gajah Teriak dekat Bukit Wang, semalam. - Foto ihsan pembaca
JITRA: Orang ramai gempar selepas seekor beruk jantan masuk ke dalam surau ketika kelas agama sedang berlangsung di sebuah pondok pengajian di Kampung Bukit Teriak di sini.
Kejadian yang menjadi viral di laman sosial itu berlaku pada jam 9 pagi semalam ketika kira-kira 390 orang sedang mengikuti kelas pengajian agama mingguan di Mahad Dar Muhajirin di Kampung Bukit Teriak.
Tenaga pengajar pondok berkenaan, Ummi Kalsom Ismail, 31, berkata beruk jantan itu datang dari arah hutan di belakang pondok itu dan berlegar-legar di sekitar pondok tanpa mengganggu atau mencederakan orang ramai yang mengikuti kelas pengajian.
Beliau berkata, haiwan itu juga memerhati setiap daripada mereka yang berada di luar surau dan tidak mengambil makanan yang diberikan kepadanya.
"Selepas berlegar di luar, haiwan itu masuk ke dalam surau dan apa yang peliknya haiwan itu hanya melihat orang yang sedang membaca kitab agama dan hanya duduk melihat kelas pengajian yang berlangsung.
"Kemudian haiwan itu memanjat badan guru agama yang sedang mengajar. Ustaz itu hanya membiarkan beruk itu berada di atasnya selama beberapa minit sebelum haiwan itu turun sendiri," katanya ketika ditemui di pondok itu hari ini.
Ummi Kalsom berkata, ia adalah kejadian pertama sejak pondok itu dibuka pada 2001 dan adalah pengalaman tidak dapat dilupakan kerana haiwan sebesar kanak-kanak berusia lima tahun itu tidak bertindak agresif seperti kebiasaan beruk lain.
Beliau berkata, orang ramai kemudian menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk menangkap haiwan itu kira-kira jam 10.30 pagi kerana bimbang berlakunya kejadian yang tidak diingini.
"Kami lihat beruk itu masuk ke dalam sangkar tanpa bertindak agresif," katanya.
Beruk jantan yang ditempatkan di JPAM Kota Setar buat sementara waktu itu telah diserahkan kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan lanjut.
- BERNAMA

11 Tuhan akan mengundi

Banyuwangi: Pendedahan seorang lelaki yang bernama Tuhan menyebabkan wilayah Banyuwangi popular di Indonesia.
Namun, wilayah Jember yang terletak bersebelahan Banyuwangi jauh lebih unik kerana mempunyai 11 penduduk bernama Tuhan.
Semua penduduk itu mendaftar sebagai pemilih untuk pilihan raya kecil bagi memilih pemimpin wilayah itu yang akan berlangsung Disember ini.
“Memang benar ada beberapa pemilih yang bernama Tuhan yang dikesan ketika saringan daftar pemilih untuk pilihan raya ini,” kata pegawai suruhanjaya pilihan raya Jember Ahmad Hanafi.
Katanya, mereka yang bernama Tuhan itu ada yang sudah berkahwin dan tinggal di beberapa daerah dan bandar Jember.
“Ada namanya memang Tuhan tetapi ada yang memakai di awalan atau di akhiran seperti Satuhan dan Tuhani,” jelasnya.
Menurutnya, ada 11 individu yang mempunyai nama Tuhan dan mereka memiliki kad pengenalan dan alamat berbeza.
Bagaimanapun, Ahmad tidak memberi maklumat lanjut berhubung individu bernama Tuhan berkenaan kerana ia dokumen rahsia. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2015 @ 6:58 AM


SEORANG lelaki Jember bernama Tuhan menunjukkan kad pengenalannya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75686#sthash.SmBZouHf.dpuf

Sekolah dalam kandang kambing

Ponorogo (Indonesia): Ketika kanak-kanak lain menikmati sesi pembelajaran yang selesa lain pula ceritanya pelajar di Kampung Sidoharjo di sini yang terpaksa belajar di kandang kambing.
Kandang kambing itu terpaksa digunakan sebagai kelas untuk pelajar Taman Kanak-Kanak Tunas Bangsa kerana berkenaan tidak mempunyai bangunan sendiri.
Walaupun terletak hanya lima kilometer dari bandar berdekatan tetapi keadaan sekolah itu sangat daif dan menyedihkan.
Pada setiap hari murid prasekolah berkenaan terpaksa menghidu bau busuk dengan suasana persekitaran yang sangat tidak sesuai untuk kesihatan.
Bagaimanapun, bagi murid dan ibu bapa, mereka tetap bersyukur kerana masih ada tempat untuk belajar dan menuntut ilmu.
Seorang penduduk, Evi Yuliana berkata, dia tidak kisah anaknya belajar di sekolah itu walaupun kadang kala sesi pembelajaran terganggu apabila ada kambing masuk ke kelas.
“Kami tiada pilihan kerana hanya sekolah ini yang ada untuk anak kami belajar,” katanya.
Guru sekolah itu, Katiasih memberitahu, dia terpaksa menggunakan kandang kambing untuk dijadikan kelas kerana tiada lokasi lain yang boleh digunakan.
“Kami terpaksa menumpang kandang kambing milik penduduk untuk dijadikan kelas,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2015 @ 7:03 AM


MURID dan kambing berkongsi tempat.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75688#sthash.sq5RgzRW.dpuf

Tengok orang baca kitab

Jitra: Orang ramai gempar selepas beruk jantan masuk ke dalam surau ketika kelas agama sedang berlangsung di pondok pengajian di Kampung Bukit Teriak, di sini.
Kejadian yang menjadi menjadi viral di laman sosial itu berlaku, kira-kira 9 pagi semalam.
Ketika itu, kira-kira 390 orang sedang mengikuti kelas pengajian agama mingguan di Mahad Dar Muhajirin di Kampung Bukit Teriak.
Tenaga pengajar pondok itu, Ummi Kalsom Ismail, 31, berkata beruk jantan itu datang dari arah hutan di belakang pondok itu dan berlegar-legar di sekitar pondok tanpa mengganggu atau mencederakan orang ramai yang mengikuti kelas pengajian.
Beliau berkata, haiwan itu juga memerhati setiap daripada mereka yang berada di luar surau dan tidak mengambil makanan yang diberikan kepadanya.
“Selepas berlegar di luar, haiwan itu masuk ke dalam surau dan apa yang peliknya haiwan itu hanya melihat orang yang sedang membaca kitab agama dan hanya duduk melihat kelas pengajian yang berlangsung.
“Kemudian haiwan itu memanjat badan guru agama yang sedang mengajar.
“Ustaz itu hanya membiarkan beruk itu berada di atasnya beberapa minit sebelum haiwan itu turun sendiri,” katanya ketika ditemui di pondok itu, hari ini.
Ummi Kalsom berkata, ia adalah kejadian pertama sejak pondok itu sejak dibuka pada 2001 dan ia pengalaman tidak dapat dilupakan kerana haiwan sebesar kanak-kanak berusia lima tahun itu tidak bertindak agresif seperti kebiasaan beruk lain.
Beliau berkata, orang ramai kemudiannya menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk menangkap haiwan itu, kira-kira 10.30 pagi, kerana bimbang berlakunya kejadian yang tidak diingini.
“Kami lihat beruk itu masuk ke dalam sangkar tanpa bertindak agresif,” katanya.
Sementara itu, beruk jantan itu sudah diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2015 @ 10:06 PM


AMIR Abdissalam Khairul Anuar, 10, menunjukkan rakaman gambar beruk jantan terbabit. FOTO Bernama
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75646#sthash.t7WH0jMc.dpuf

Jurutera kimia tidak mandi 12 tahun



WHITLOCK (tengah) bersama kakitangan syarikat AOBiome di Massachusetts, Amerika Syarikat. - AGENSI


MASSACHUSETTS, Amerika Syarikat – Seorang jurutera kimia di sini mengakui tidak pernah mandi selama 12 tahun kerana mahu memelihara ‘bakteria baik’ di kulitnya.
Dave Whitlock yang merupakan saintis di Institut Teknologi Massachusetts (MIT) berkata, sebagai alternatif dia menggunakan semburan kabus yang mengandungi bakteria hidup di kulitnya dua kali sehari.
Produk tersebut, Mother Dirt dihasilkan oleh syarikat AOBiome yang turut diasaskan oleh Whitlock melalui penjualan bakteria hidup sebagai semburan untuk kulit, menurut agensi berita, CBS Boston.
“Saya tidak pernah mandi sejak 12 tahun lalu. Tiada orang yang melakukan ujian klinikal terhadap manusia yang mandi setiap hari. Jadi, apa asas untuk menganggapnya ia satu amalan yang sihat,” kata Whitlock.
Walaupun tidak mandi, kadangkala Whitlock akan menggunakan span untuk membersihkan kotoran yang ada di kulitnya.
Saintis itu mendapat idea mengenai bakteria baik apabila seorang rakan wanitanya bertanya mengapa kuda suka berguling di atas tanah dan kotoran sewaktu musim panas.
“Satu-satunya sebab mengapa kuda berkelakuan seperti itu ialah kerana haiwan berkenaan memperoleh manfaat daripadanya,” kata Whitlock. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0907&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3l0KcSYGT 
Hakcipta terpelihara 

Lebih 4,000 imigran masuk Austria


ANGGOTA polis mengangkat seorang budak perempuan untuk mengelakkannya daripada rempuhan ketika imigran berasak di stesen kereta api Nickelsdorf, Austria semalam. - REUTERS


VIENNA – Beribu-ribu imigran masuk ke Austria dari Hungary kelmarin dalam peristiwa yang disifatkan Vienna sebagai amaran bahawa Eropah berdepan krisis pelarian terbesar sejak Perang Dunia Kedua.
“Situasi di Eropah kini teruk. Saya harap ini (kebanjiran imigran) akan menjadi amaran bahawa situasi sekarang tidak boleh dibiar berterusan,” kata Menteri Luar Austria, Sebastian Kurz ketika tiba untuk rundingan di Lu­xembourg bersama rakan-rakan sejawatnya dari Kesatuan Eropah berhubung isu tersebut.
Sementara itu, polis berkata, kira-kira 4,000 imi­gran menyeberangi sempadan malam kelmarin dan pagi semalam dengan angka tersebut dijangka meningkat kepada 10,000 orang lewat hari yang sama.
Mereka tiba selepas Hungary yang menjadi negara persinggahan imigran ber­kenaan, bertindak menghantar beribu-ribu pendatang asing yang terkandas di Budapest dengan sejumlah bas ke sempadan Austria.
Tindakan itu dibuat selepas kira-kira 1,200 imigran berjalan kaki dari Budapest ke sempadan Austria dalam perjalanan sejauh 175 kilometer.
Di Vienna, kalangan imigran yang tiba disambut oleh sejumlah sukarelawan. Mereka membantu mengagihkan makanan, minuman, produk sanitari dan tiket kereta api.
“Ibu jari kaki saya sakit, banyak darah keluar kerana kami terlalu banyak berjalan. Saya mahu pergi ke Jerman tetapi kemudian berhenti,” kata seorang imigran dari Syria berusia 26 tahun.
Dalam perkembangan berkaitan, polis Jerman berkata, pihaknya menjangkakan seramai 7,000 imigran akan tiba di wilayah Jerman menjelang lewat semalam.
Beratus-ratus ribu pendatang asing berkenaan melakukan perjalanan menempuh bahaya menuju ke Eropah pada musim panas kali ini dengan kebanyakan mereka mengimpikan untuk menetap di barat Eropah terutamanya di Jerman.
Data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu semalam menunjukkan seramai 366,402 imigran mendarat di Eropah melalui jalan laut dengan 2,800 lagi mati atau hilang.
Sejumlah 49 peratus da­ripada mereka melarikan diri daripada perang saudara dan kumpulan militan Islamic State di Syria. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0906&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3l0KMEzSy 
Hakcipta terpelihara 

Jerman rai ketibaan pelarian


SEKUMPULAN penduduk bandar Munich dilihat melambai kepada pelarian yang baru tiba di Stesen Kereta Api Munich, Jerman kelmarin. - REUTERS


MUNICH – Jerman semalam bersiap sedia menerima beratus-ratus lagi pelarian yang masuk dari Hungary melalui Austria, sehari selepas beribu-ribu pelarian tiba dan disambut oleh sukarelawan yang memegang papan tanda ‘Selamat Datang ke Jerman’.
Negara Kesatuan Eropah yang paling padat penduduk ini dijangka mencapai rekod baharu lebih 800,000 orang yang melarikan diri daripada peperangan dan kemiskinan di samping jumlah sukarelawan tertinggi dalam sejarah membantu mereka yang baharu tiba.
Kelmarin sahaja sekitar 8,000 imigran menyeberang masuk ke sempadan Jerman, jelas polis persekutuan kepada agensi berita AFP.
Di bandar Munich, keluarga pelarian memegang anak kecil dan sedikit harta benda dilihat tersenyum ketika mereka di­sambut dengan sorakan, makanan dan air botol oleh penduduk setempat.
Stesen Kereta Api Munich menyaksikan sekitar 6,800 orang tiba kelmarin, kata pihak berkuasa tempatan.
Ketika pelarian mula turun daripada kereta api, polis di sini menunjukkan mereka ke arah bas-bas yang menunggu untuk membawa kumpulan itu ke penempatan sementara yang dibuka di bangunan awam, hotel dan markas tentera di seluruh negara.
“Orang di sini melayan kami dengan sangat baik, mereka melayan kami seperti manusia, tidak seperti di Syria,” kata seorang pelarian dikenali sebagai Mohammad, 32, yang datang dari bandar Qusayr, Syria.
Walaupun Jerman menyaksi­kan beberapa perhimpunan membenci orang dari negara lain dan serangan ke atas warga asing, negara ini juga mencatatkan banyak sokongan, derma dan sukarelawan dalam kalangan penduduk yang percaya mereka mempunyai tanggungjawab untuk membantu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0907&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3l0K4X0CO 
Hakcipta terpelihara 

Hungary guna tentera halang pelarian Islam


pelarian Islam dari Syria yang menaiki kapal Tera Jet tiba di
Pelarian Islam dari Syria yang menaiki kapal Tera Jet tiba di pelabuhan Piraeus, dekat Athens, Greece, semalam. REUTERS
BUDAPEST 6 Sept. - Pihak berkuasa Hungary berkemungkinan menggunakan khidmat pasukan tentera bagi menghalang kemasukan ribuan pelarian Islam ke negara ini yang merupakan pintu masuk utama ke sempadan zon Eropah.
Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban berkata, pihaknya akan menggunakan khidmat pasukan polis sebelum mendapat kebenaran Parlimen untuk menggunakan khidmat tentera dalam menangani isu pelarian di sempadan.
“Namun, tidak ada pihak yang boleh memaklumkan bila kawalan sempadan secara selamat akan dapat dilaksanakan, tapi yang pasti, kami akan melakukan sesuatu bagi memastikan perkara ini berjaya,” ujar beliau.
Hungary bercadang untuk menutup pintu sempadannya dengan pembinaan pagar yang lebih tinggi pada pertengahan bulan ini.
Pada masa sama, pihaknya menegaskan tidak ada bas akan disediakan untuk membawa pelarian ke sempadan Austria selepas kumpulan pelarian dibenarkan masuk, kelmarin dengan sebahagiannya dibenarkan menaiki kereta api.
Sementara itu, ribuan pelarian Islam yang bertindak berjalan kaki dari Hungary menuju ke Austria telah mula tiba di Austria dan Jerman, sejak semalam selepas Budapest melonggarkan kawalan kemasukan pelarian terbabit.
Kelmarin, ribuan pelarian kebanyakan mereka terdiri daripada pelarian Syria tiba dengan menaiki bas, kereta api dan juga berjalan kaki ke sempadan Austria sebelum bergerak ke Vienna, Munich dan beberapa negara lain.
Austria dan Jerman kini menyediakan lebih banyak perkhidmatan kereta api untuk menangani kemasukan pelarian.
Menurut pihak berkuasa Austria, semalam, lebih 10,000 pelarian telah menyeberangi ke sempadan Austria.
“Ramai yang tiba di Austria terus menuju ke Munich di selatan Jerman, di mana penduduk tempatan menyambut mereka dengan terbuka dan memberikan gula-gula kepada kanak-kanak pelarian.
Semalam, kira-kira 7,000 pelarian tiba di stesen kereta api Munich dan kesemua mereka dihantar ke pusat penempatan di seluruh negara itu untuk didaftarkan sebelum menerima pakaian dan makanan. – AGENSI
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/hungary-guna-tentera-halang-pelarian-islam-1.132426#sthash.BZI1MbkY.dpuf