Sunday, September 6, 2015

Pelarian tiba di Austria

Hegyeshalom: Ribuan pendatang memasuki Austria semalam selepas diangkut dengan bas ke sempadan negara itu oleh kerajaan Hungary setelah Vienna dan Berlin bersetuju untuk menerima ribuan pelarian yang terdesak untuk memulakan kehidupan baru di Eropah Barat.
Selepas suasana tegang dan kecoh sejak beberapa hari lalu, kerajaan berhaluan kanan Hungary akhirnya menyediakan puluhan bas untuk membawa pendatang itu dari Budapest dan mengangkut lebih 1,000 orang, kebanyakannya pelarian Syria yang berjalan kaki kelmarin untuk ke Vienna.
Austria berkata, ia mencapai persetujuan dengan Jerman untuk memberikan akses kepada pendatang berkenaan, mengecualikan peraturan sistem pencari suaka yang gagal ekoran krisis pelarian terburuk Eropah sejak perang Balkan pada 1990-an.
Dengan berselimut dan menggunakan beg tidur bagi melindungi diri daripada hujan, barisan panjang pendatang yang kepenatan, kebanyakannya membawa anak kecil, menaiki bas di sempadan sebelah Hungary dan berjalan memasuki Austria.
Pekerja bantuan memberikan mereka buah dan air sementara sekumpulan rakyat Austria menanti di pintu masuk sempadan dengan sepanduk berbunyi ‘Pelarian dialu-alukan.’
“Kami gembira. Kami akan ke Jerman,” kata seorang lelaki Syria, Mohammed.
Seorang lagi yang enggan memberitahu namanya berkata: “Hungary sepatutnya disingkirkan daripada Kesatuan Eropah. Mereka memberi layanan amat teruk.”
Kelmarin, ratusan pelarian meninggalkan kereta api yang ditahan di kem yang sesak di sempadan Hungary dan Serbia. Mereka kemudian berjalan kaki, diketuai seorang pelarian kudung sebelah kaki sambil melaungkan slogan ‘Jerman, Jerman!’
Dengan alasan keselamatan, Hungary menyediakan 100 bas untuk membawa mereka ke sempadan.
Bagaimanapun, langkah itu secara tidak langsung menunjukkan kerajaan tidak dapat mengawal jumlah pelarian yang ramai yang ingin ke utara dan barat Eropah selepas meninggalkan negara masing-masing kerana peperangan dan kemiskinan.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2015 @ 5:04 AM


SEKUMPULAN pendatang tersenyum selepas tiba di stesen kereta api Westbahnhof di Vienna, Austria dari Hungary, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75546#sthash.DgWaXRZh.dpuf

No comments:

Post a Comment