Sunday, September 6, 2015

Hungary enggan terima pelarian Islam


05 September 2015 1:21 AM



BUDAPEST 4 Sept. - Hungary dilapor tidak lagi mahu menerima kemasukan pelarian Islam dalam jumlah yang besar ekoran kebanjiran jumlah golongan itu di negara ini.
Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban berkata, Budapest berhak memutuskan tidak mahu berbuat demikian.
“Kami tidak suka menerima akibatnya,’’ katanya kepada pemberita di luar ibu pejabat Kesatuan Eropah (EU) di Brussels, merujuk kepada sejarah 150 tahun negara ini di bawah pemerintahan kerajaan Islam Uthmaniyyah pada abad ke-16 dan ke-17.
Orban memberi amaran kepada pelarian Islam yang melarikan diri daripada konflik di negara mereka seperti Syria, agar jangan cuba memasuki Hungary, ketika beliau mempertahankan keputusan negara ini untuk membina pagar di sepanjang sempadannya dengan Serbia, lapor agensi berita DPA yang dipetik portal Al Jazeera.
“Tolong jangan datang. Agak berisiko untuk pelarian Islam datang. Kami tidak dapat memberi jaminan kamu akan diterima,’’ katanya.
Beliau menambah, rakyat Hungary dan penduduk Eropah amat takut melihat pemimpin-pemimpin Eropah termasuk perdana menteri tidak mampu mengawal situasi itu.
Kenyataan Orban dibuat ekoran insiden pelarian Islam yang menaiki kereta api untuk ke sempadan Austria bertempur dengan polis Hungary semasa mereka dipaksa ke sebuah kem pelarian.
Ribuan pelarian tidur merata-rata di luar stesen kereta api Budapest ketika polis menghalang mereka daripada memasuki ibu negara Hungary selama dua hari.
Namun, mereka kemudian dibenarkan masuk semalam dan menaiki kereta api menuju ke Sopron, sebuah bandar dekat sempadan Austria, tetapi polis Hungary bertindak menahan kereta api itu sebelum berlepas dan memaksa pelarian turun serta menaiki bas untuk dibawa ke kem pelarian, lapor agensi berita kerajaan MTI.
Sebahagian pelarian bertindak lari ke landasan kereta api bagi mengelak ditahan polis.
Hungary dilaporkan sedang memperketatkan undang-undang suaka dengan mengenakan denda kepada pendatang haram yang memasuki negara ini, serta menutup kem-kem tetap pelarian.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/hungary-enggan-terima-pelarian-islam-1.131822#sthash.XKmreFpr.dpuf

No comments:

Post a Comment