Gambar fail menunjukkan dua orang sami Jain berjalan kaki tanpa memakai selipar di India. AGENSI
AHMEDABAD 22 Okt. – Seorang sami yang diarahkan ke sebuah mahkamah di bandar ini mendakwa, dia memerlukan tempoh lapan bulan untuk hadir ke perbicaraannya kerana perlu berjalan kaki sejauh 2,200 kilometer dengan alasan ajaran Jain yang dianutinya tidak membenarkan dia menggunakan sebarang bentuk pengangkutan.
Acharya Kirti Yashurishwarji Maharaj yang berada di timur bandar Kolkata, kira-kira 2,200 kilometer dari Ahmedabad berkata, dia akan menghadiri perbicaraan di bandar ini dengan hanya berjalan kaki.
Namun, mahkamah menolak permohonan Maharaj, 60, sebaliknya meminta dia hadir ke mahkamah pada bulan depan.
Dia berdepan pertuduhan memalsukan dokumen bagi membolehkan kanak-kanak diambil sebagai sami dalam satu amalan digelar Bal Diksha.
Pendakwaan kes itu difailkan oleh Jasmin Shah, seorang pemimpin komuniti Jain yang menentang Bal Diksha.
Peguam mewakili Shah, Nitin Gandhi berkata, mahkamah juga telah mengeluarkan perintah baharu terhadap sami itu dan mengarahkannya supaya hadir di mahkamah sebelum 4 November ini.
Fahaman Jain merupakan satu agama kuno India dengan pengikutnya hidup dalam keadaan sederhana menurut prinsip-prinsip bukan keganasan yang ketat, dan sami Jain juga akan meninggalkan setiap kekayaan mereka di dunia. – AFP
No comments:
Post a Comment