Friday, October 23, 2015

Pan Borneo bebas tol cubaan BN melobi?


RAZIATUL HANUM A.RAJAK
Dr Wan Azizah Wan Ismail
Dr Wan Azizah Wan Ismail 
23 OKTOBER 2015


KUALA LUMPUR - Pembangkang mendakwa 'gula-gula' yang diberikan kepada Sarawak termasuk pengumuman bebas tol di lebuhraya Pan Borneo dalam pembentangan Bajet 2016, hari ini, jelas sebagai salah satu cubaan kerajaan melobi negeri itu untuk pilihanraya negeri akan datang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, banyak yang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak lakukan demi mencapai tujuan itu.

"Memang (cubaan melobi). Itu tol di sana, tol di sini (bagaimana)?.

"Banyak dia buat untuk pancing undi. Salah satunya tol percuma di Pan Borneo itu," katanya ketika ditemui selepas pembentangan Bajet 2016 selesai.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, cubaan itu jelas namun menurutnya projek Pan Borneo itu bukan perkara baharu.

"Saya fikir memang jelas cuba melobi di Sarawak tapi itu bukan projek baharu. Kita daripada dulu mengumumkan kewajipan untuk membawa satu perubahan termasuk infrastruktur yang menyeluruh kepada Sabah dan Sarawak.

"Kita hanya tunggu pelaksanaan. Tapi mampukah beliau melaksanakannya tanpa rasuah, tanpa salah tadbir dan juga tanpa pembinaan yang tempang," katanya.

Malah menurutnya, beliau menanti-nantikan Laporan Ketua Audit Negara yang akan datang terhadap prestasi kerajaan.

"Saya menunggu-nunggu lagi laporan Ketua Audit Negara seterusnya yang akan mempamerkan bagaimana di Malaysia ini

"Di mana di bawah pentadbiran Najib Razak, kita tidak mampu menggarab perubahan sebenar," katanya.

Najib mengumumkan Lebuhraya Pan Borneo ‎yang menghubungkan Sabah dengan Sarawak bebas daripada sebarang bayaran tol semasa membentangkan Bajet 2016 di Dewan Rakyat di Parlimen, hari ini.

Ketika beliau mengumumkan perkara itu, suasana tiba-tiba menjadi riuh dengan suara barisan ahli Parlimen pembangkang dan pembentangan terhenti seketika sebelum kembali disambung.

Lebuhraya itu membabitkan jarak sejauh 1,076 kilometer dan kos RM15 bilion.

No comments:

Post a Comment