Saturday, October 24, 2015

Langkah selesai 1MDB tidak disentuh dalam bajet


WARTAWAN SINAR HARIAN
Idris Ahmad

24 OKTOBER 2015
Idris Ahmad

KUALA LUMPUR - Pas mempertikaikan tindakan kerajaan yang tidak menjelaskan langkah menyelesaikan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam Bajet 2016, semalam.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, apa yang paling penting dalam bajet kali ini ialah berkenaan menyelesaikan isu 1MDB seperti dijanjikan kerajaan.

“Kami kecewa kerana 1MDB tidak menjadi tumpuan kerajaan di sebalik tanggapan dunia bahawa isu ini asas yang membawa masalah kepada negara.

“Kerajaan seharusnya mengumumkan apa yang telah dilakukan susulan janji untuk menyelesaikannya dalam tempoh enam bulan,” katanya kepada media di lobi Parlimen, semalam.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seharusnya mendedahkan langkah penyelesaian yang telah dibuat seterusnya mengurangkan tanda tanya dalam kalangan ahli parlimen dan rakyat.

Sementara itu, beliau berkata, tindakan kerajaan yang meneruskan pelaksanaan GST bakal memberi tekanan kepada rakyat dan meningkatkan kadar inflasi.

Katanya, GST telah dijadikan satu sumber pendapatan paling penting pada kerajaan dan secara tidak langsung menyumbang masalah kepada rakyat.

“Mungkin pada kerajaan ia salah satu tindakan yang betul, tetapi ia juga amat menekan rakyat dengan pelbagai kenaikan seperti harga barang dan tol.

“Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) juga merupakan satu tindakan populis bagi memenangi hati rakyat. Namun pada hakikatnya, ia bukan salah satu langkah penyelesaian untuk menyelamatkan rakyat daripada kemiskinan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merahsiakan adakah ingin menerima atau menolak bajet yang telah dibentangkan perdana menteri.

No comments:

Post a Comment