Saturday, October 24, 2015

TPM: Bajet 2016 antaranya untuk p'raya Sarawak


 Zulaikha Zulkifli      23 Oct 2015, 6:39 pm      23 Oct 2015, 8:07 pm

 
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengakui bahawa bajet 2016 yang dibentangkan hari ini merupakan belanjawan antaranya bagi memenangi pilihan raya negeri Sarawak yang akan datang.

"(Kita mendapat) komen positif dari mereka (penduduk Sarawak). Ya memang (untuk menang pilihan raya negeri Sarawak)," katanya dalam sidang media selepas pembentangan Bajet 2016 di lobi Parlimen hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita sama ada bajet yang dibentangkan hari ini adalah untuk memenangi pilihan raya negeri Sarawak yang akan datang.

Dalam pembentangan Belanjawan 2016 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak petang ini, beliau meluluskan sebanyak RM29.2 bilion peruntukan untuk Sabah dan Sarawak.

Peruntukan yang diberikan ialah bagi pembinaan Lapangan Terbang Mukah, Sarawak, projek perparitan bagi mencegah berlakunya banjir, penubuhan Institut Latihan Perindustrian Serian Sarawak serta pinjamaan tanpa faedah melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) dan kerjasama kerajaan negeri bagi tujuan membina rumah-rumah panjang.

Malah, kerajaan juga memperuntukkan 30 peratus daripada Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia sebagai dana terkumpul bagi melaksanakan program latihan mengikut keperluan industri setempat di Sabah dan Sarawak

Agenda untuk memperkasa bumiputera yang merangkumi pembangunan masyarakat di Sabah dan Sarawak juga akan dilakukan. Ia termasuk pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak yang bebas daripada sebarang tol.

Selain itu, dalam belanjawan yang bertemakan 'Mensejahtera Kehidupan Rakyat', sebanyak RM260 juta juga disediakan untuk Program 1Harga 1Sarawak dan Program 1Harga 1Sabah bagi memastikan keseragaman harga barangan terpilih.

"Pokoknya, bagi kerajaan ini rakyat adalah segala-galanya. Khabar bahagia sudah pun tiba. Maka, ingin saya umumkan, berkuatkuasa 1 Julai 2016, gaji minimum negara dinaikkan daripada RM900 kepada RM1,000 bagi Semenanjung dan daripada RM800 kepada RM920 sebulan bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Gaji minimum ini melibatkan semua sektor kecuali perkhidmatan domestik atau pembantu rumah," kata Najib lagi.

No comments:

Post a Comment