Saturday, November 21, 2015

Beg Hermes Maira untuk kenduri Daniyar, Nooryana?




Dokumen mahkamah di Manhattan, New York, menyatakan beg tangan Hermes yang dibeli - dan tidak dibayar - Daniyar Kessikbayev dan ibunya Maira Nazarbayeva digunakan
sebagai hadiah di majlis perkahwinannya dengan Noryaana Najwa Najib.
Maklumat yang terkandung dalam saman sivil difailkan Presiden Samilor Enterprise, Bella Belkin pada 18 November lalu menyatakan, Daniyar dan Maira sudah membeli tujuh beg Hermes dari kedai mereka tetapi enggan membayarnya.
Dokumen mahkamah yang diperoleh Malaysiakini menyebut: "Berdasarkan maklumat dipercayai, defendan (Maira dan Daniyar) menggunakan barang disenaraikan dalam perjanjian itu untuk kegunaan peribadi. Secara khusus, mereka menyimpan sebahagian daripada barangan itu untuk kegunaan sendiri dan yang lain diberikan sebagai hadiah semasa majlis perkahwinan Daniyar."
Daniyar berkahwin dengan anak perempuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta Datin Rosmah Mansor itu pada 28 Mac lalu di Kuala Lumpur, manakala majlis bertandang sebelah pengantin lelaki berlangsung pada 18 April di Almaty, Kazakhstan.
Dokumen mahkamah itu menyatakan, dengan mengambil beg tangan mahal tanpa membayarnya, defendan bertindak tidak adil terhadap Bella.
Justeru, Bella memohon pampasan daripada defendan, termasuk menuntut ganti rugi serta bayaran tertunggak bernilai AS$401,912.50 (RM1.72 juta) bagi tujuh beg Hermes yang dimiliki pasangan anak beranak itu.

No comments:

Post a Comment