KOTA BHARU - Pemecatan 300 anggota Pas daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Pulau Pinang tidak sepatutnya berlaku kerana kemenangan DAP di negeri itu pada pilihan raya umum ke-13 adalah hasil gerak kerja bersama Pas.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, berikutan itu Pas bertindak menjadi pembangkang di Pulau Pinang.
"Dari segi pentadbiran...kita lihat ini satu tindakan yang agresif yang dibuat oleh DAP.
"Pas melahirkan rasa dukacita dengan tragedi ini," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Sambutan 60 Tahun Pas Kelantan oleh Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob di sini, hari ini.
Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas mengisytiharkan untuk menjadi pembangkang di Pulau Pinang berikutan tindakan pemecatan itu.
Mengulas mengenai tindakan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang lantang mengkritik pentadbiran kerajaan Kelantan dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Tuan Ibrahim menasihati Husam agar menggunakan saluran sedia ada untuk menyelesaikan masalah dalaman parti.
"Husam sebagai ahli parti masih boleh membuat sumbangan kepada parti, bukan menentang, mengganggu dan merosakkan parti," katanya.
Sementara itu, Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Husam yang juga Adun Salor sepatutnya menyuarakan kritikannya secara dalaman bagi mengelakkan pelbagai persepsi negatif daripada orang ramai. - Bernama