Thursday, November 19, 2015

Obama bidas China



AFP - GAMBAR fail pada 20 Julai 2011 menunjukkan pemandangan dari udara Pulau Thitu di Kepulauan Spratly yang diduduki Filipina.


MANILA – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama meminta kerja pembinaan di kepulauan tuntutan bertindih di Laut China Selatan dihentikan semalam sekali gus meningkatkan tekanan ke atas China pada Forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
Mengetepikan gesaan rakan sejawatnya dari China, Xi Jinping supaya sidang kemuncak 21 negara di Manila itu menumpukan kepada hubungan ekonomi, Obama menuntut langkah-langkah berani diambil bagi meredakan ketegangan antara China dan jiran-jirannya yang lebih kecil di rantau Asia Tenggara.
Dalam komen yang jelas ditujukan kepada Beijing, Obama berkata, langkah-langkah itu termasuk menghentikan penambakan laut, pembinaan baharu dan operasi ketenteraan di Kepulauan Spratly.
Negara-negara serantau termasuk hos APEC, Filipina bimbang berhubung tindakan China yang semakin agresif di laluan perkapalan strategik itu.
Antara tindakan itu termasuk membina beberapa pulau di terumbu dan beting pasir yang mendorong beberapa negara Asia Tenggara berpaling kepada Washington untuk meraih sokongan.
Obama menekankan bahawa AS mempunyai tanggungjawab untuk melindungi Filipina seperti yang termaktub dalam perjanjian pertahanan bersama.
Beliau bagaimanapun meminta pertikaian tuntutan itu diselesaikan berlandaskan undang-undang.
“Pertikaian ini perlu diselesaikan secara aman,” kata Obama yang menyokong keputusan Filipina meminta timbangtara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung isu Spratly.
Beijing enggan mengiktiraf bidang kuasa panel PBB tersebut. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1119&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3rssvKvsy 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment