Thursday, November 19, 2015

‘Tiada siapa nak jatuhkan Nik Aziz’


W.SAIDATUL NAJEMUDIN
Mustafa Ali

18 NOVEMBER 2015
 Mustafa Ali

KUALA TERENGGANU - Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Mustafa Ali tergelak besar ketika mendengar namanya pernah dikaitkan dengan usaha menjatuhkan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mustafa berkata, dakwaan yang mengaitkan beliau dengan usaha terbabit adalah pertama kali didengarnya.

Sambil menafikan perkara itu, beliau memberitahu tidak ada sebarang komplot untuk menggugat kedudukan bekas Mursyidul Am Pas itu ketika hayatnya.

“Ini adalah berita baru bagi saya. Ini pertama kali dengar... Dalam Pas ini tiada seorang manusia pun yang nak jatuhkan Tok Guru Nik Aziz,” katanya kepada pemberita di Pejabat Perhubungan Pas Terengganu, di sini, kelmarin.

Beliau turut menegaskan dan mengulangi cubaan sedemikian tidak pernah berbangkit sekalipun oleh mana-mana pemimpin Pas lain.

“Tak ada seorang manusia pun (dalam Pas), pemimpin kecil, besar ke. Tiada. Tiada seorang pun yang ada hasrat untuk jatuhkan Tok Guru Nik Aziz. Tidak,” katanya.

Beliau berkata sebagai menjawab dakwaan yang mengaitkan beliau, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din untuk menjatuhkan kepimpinan Nik Aziz.

Sementara itu, berhubung isu Abdul Hadi menawarkan untuk menjadi penasihat BN, beliau memberitahu perkara tersebut telah dimanipulasi daripada kenyataan asal pemimpin Pas itu.

Beliau memberitahu  Pas sudah terlalu lama memberi nasihat dalam memastikan urus tadbir negara ke arah lebih baik.

“Kalau tak tawar pun kita nasihat dah. Sampai waktu bagi nasihat, kita bagi nasihat,” katanya.

Berhubung kerajaan negeri yang bersedia bekerjasama dengan Pas, Mustafa berkata beliau bersetuju memberi nasihat sekiranya kerajaan negeri mahu berbincang dengan Pas berhubung pembangunan Terengganu.

“Kalau nak bincang dengan (kerajaan negeri) soal pembangunan Terengganu, boleh. Saya pun sanggup,” katanya.

No comments:

Post a Comment