Wednesday, December 9, 2015

AES Akan Diperluas Ke Seluruh Negara - Aziz Kaprawi


Diterbitkan: Rabu, 9 Disember 2015 1:53 PM

KUALA LUMPUR: Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan diperluas ke seluruh negara bagi mengatasi kemalangan jalan raya, persidangan Dewan Negara diberitahu pada Rabu.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata AES akan diperluas ke lokasi berisiko kemalangan yang dikenal pasti hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).
"Pada masa ini, kita masih dalam perbincangan dengan pihak berkaitan untuk manambah baik terma perjanjian AES yang mengambil kira pandangan dan maklumat balas pelbagai pihak sebelum ia boleh diperluaskan.
"AES masih diteruskan di 14 lokasi iaitu di Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang melibatkan 10 kamera tetap serta empat kamera mudah alih," katanya menjawab soalan Senator Dr. Ariffin S.M Omar yang ingin tahu langkah kerajaan dalam membangun dan memperluaskan khidmat AES.
ADVERTISEMENT
AES dilaksanakan bertujuan mengawal had laju kenderaan dan pelanggaran lampu isyarat melalui kamera yang dipasang di laluan tertentu bagi mengurangkan kemalangan jalan raya.
Abdul Aziz berkata selain memperluas operasi AES, kerajaan juga sedang merangka pelan pelaksanaan dan model operasi yang baharu bagi fasa berikutnya supaya ia dapat dilaksanakan dengan lebih inklusif dan mudah diterima masyarakat.
Menjawab soalan Senator Chia Soong Cheng mengenai penambahbaikan AES, beliau berkata pada masa ini kementerian akan membuat penjenamaan semula bagi menangani persepsi orang ramai yang mengganggap sistem itu hanyal bersifat menghukum.
"Kita akan buat penjenamaan semula AES kepada Malaysia Road Traffic Safety Programme (MRTSP) bagi menangani persepsi orang ramai yang kurang mesra dengan terma penguatkuasaan dan persepsi AES yang seolah-olah bersifat menghukum.
"Melalui penjenamaan semula ini, Lembaga Tabung Angkatan Tentera akan mengurus kamera statik manakala Polis Diraja Malaysia akan mengambil alih kamera bergerak," katanya.

No comments:

Post a Comment