Gambar fail bertarikh 24 Mei, 2014 merakamkan kapal pembawa peluru berpandu China mengambil bahagian dalam latihan bersama dengan tentera laut Rusia di Laut China Timur dekat Shanghai, China. – AGENSI
BEIJING 13 Dis. – China meningkatkan latihan ketenteraan di kawasan pertikaian di Laut China Selatan sejak beberapa hari lalu selepas Amerika Syarikat (AS) menempatkan sebuah pesawat pengintip di Singapura dan mengerahkan kapal perang ke lokasi yang sama.
Kementerian Pertahanan China dalam kenyataannya berkata, latihan tersebut merupakan satu rutin dengan mengerahkan sebuah armada tentera laut ke perairan Laut China Selatan.
“Tindakan ini merupakan rutin latihan yang mengikut pelan latihan tentera laut seperti yang ditetapkan sejak awal tahun,” tambah kenyataan itu seperti dilaporkan portal PressTV.
Beberapa gambar latihan turut tersebar dalam Internet yang menunjukkan kapal perang China melakukan latihan menggunakan peluru hidup, tetapi lokasi dan jumlah kapal atau anggota yang terlibat tidak didedahkan.
Tindakan Beijing itu dilihat sebagai satu langkah untuk mengukuhkan tuntutan ke atas kawasan pertikaian di Laut China Selatan yang kaya dengan sumber asli dan merupakan kawasan laluan perdagangan penting dunia.
Pertikaian ke atas wilayah maritim itu turut melibatkan beberapa negara di rantau Asia termasuk Malaysia, Brunei, Filipina, Vietnam dan Taiwan.
Sejak beberapa bulan lalu, AS mula memihak kepada ‘musuh-musuh’ China dalam isu perebutan tersebut apabila mengerahkan kapal perangnya dan pesawat pengebom ke Laut China Sealtan.
Tindakan Washington itu mencetuskan kemarahan Beijing yang menyifatkan AS mencampuri isu di rantau Asia dan sengaja meningkatkan ketegangan antara negara-negara terlibat.
AS sebaliknya membidas kenyataan China apabila mendakwa Beijing melakukan program terancang untuk menuntut lokasi pertikaian dengan membina pulau buatan di kawasan terbabit.
No comments:
Post a Comment