Pengumuman tersebut di­buat ketika Yahya berucap kepada penyokongnya di pekan Brufut, baru-baru ini, dan kenyataan tersebut disiarkan melalui stesen televisyen tempatan, selain dimuatnaik dalam laman web beliau.
Bagaimanapun, Yahya memberi jaminan kepada masyarakat mino­riti Kristian di negara ini bahawa hak mereka akan dihormati dan golo­ngan perempuan tidak terikat pada kod pakaian.
“Takdir Gambia terletak pada ketentuan Allah. Bermula hari ini, Gambia merupakan sebuah negara Islam.
“Kita akan menjadi negara Islam yang menghormati hak rakyatnya,” kata pemimpin berusia 50 tahun itu seperti dilaporkan laman web miliknya.
Berdasarkan rakaman ucapan beliau yang disiarkan oleh rangkaian televisyen GRTV, Presiden negara kecil yang terletak di barat benua Afrika itu tidak menjelaskan tentang kepentingan memegang status sebagai sebuah negara Islam.
“Komuniti Kristian akan dihormati dan sambutan Krismas juga dibenarkan diadakan, tiada sesiapa berhak mengganggu cara kehidupan orang lain.
“Saya tidak melantik sesiapa menjadi anggota polis untuk menguatkuasakan undang-undang Islam dan cara pemakaian golongan wanita bukan urusan anda,” katanya.
Yahya yang merupakan seorang pegawai tentera, memerintah Gambia sejak 1994 selepas mengetuai satu rampasan kuasa dan mengambil keputusan menarik diri daripada Komanwel pada 2013.
Beliau tampil sebagai pemimpin yang mengamalkan ajaran Islam dan sering dilihat membawa kitab al-Quran. – AFP