Wednesday, March 4, 2015

Azmin Tolak Pemberian Bonus 3 Bulan Gaji Kepada MBPJ


Diterbitkan: Rabu, 4 Mac 2015 3:30 PM
Azmin Ali.

PETALING JAYA: Kerajaan Selangor pada Rabu menolak cadangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk memberikan Ganjaran Khas Prestasi Majlis Tahun 2014 sebanyak tiga bulan kepada Ahli Majlis dan kakitangannya.
Bagaimanapun Menteri Besar, Azmin Ali berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bersetuju untuk memberikan bonus satu bulan gaji kepada kakitangan MBPJ tertakluk kepada syarat ketat penilaian secara menyeluruh.
Azmin Ali.

Azmin berkata MMKN akan menyediakan garis panduan yang lebih ketat kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menjamin prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan kewangan di peringkat PBT.
"Semua PBT di Selangor bertanggungjawab untuk menghayati akan tujuan penubuhan majlis perbandaran yang berorientasikan perkhidmatan kepada rakyat. 
"PBT diminta mematuhi dasar-dasar Kerajaan Negeri yang telah diputuskan sebelum ini selaras dengan Seksyen 10(9) Akta Kerajaan Tempatan 1972," katanya
Jelasnya,  peningkatan hasil kutipan melalui pembayaran cukai rakyat tidak boleh dilihat sebagai keuntungan perniagaan sebaliknya ia perlu diurus secara berhemah dan efisien. 
"Kutipan hasil dan rezab perlu diurus dengan berhemah dan dikembalikan kepada rakyat melalui pembangunan yang berkualiti dan perkhidmatan yang efisien termasuk Piagam Pelanggan yang jelas. 
"Penyelenggaraan jalan yang baik dan selesa, pengurusan sampah dan sisa pepejal yang cekap serta menjamin persekitaran yang bersih dan selamat," katanya. 
Beliau berkata PBT juga perlu meneroka dan melabur dalam sektor perkhidmatan yang baru untuk meningkatkan kualiti kehidupan bandar.

No comments:

Post a Comment