Monday, January 18, 2016

Bekas pemimpin Umno dakwa ditawar sesuatu untuk tutup mulut


Bekas Ketua Wanita Umno Gopeng, Datuk Hamidah Osman mendakwa bahawa terdapat percubaan untuk menghalang beliau daripada bersuara, terutama kritikannya terhadap parti.
Bercakap sebagai panel Wacana Perdana Selamatkan Malaysia anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Ipoh, malam semalam, bekas ADUN Sungai Rapat tidak mendedahkan maklumat lanjut mengenai bentuk tawaran yang dibuat itu.
"Jika diberi pilihan antara pemimpin dan parti, saya akan pilih parti, tetapi jika antara parti dan negara, saya lebih utamakan kepentingan negara dari parti.
"Apa yang terjadi (pemecatan dalam Umno) saya reda dan saya sanggup ketepikan kepentingan diri kerana bimbang apa yang berlaku hari ini dan apa yang akan berlaku pada masa akan datang," kata Hamidah yang dipetik akhbar Sinar Harian.
Forum Wacana Perdana Selamatkan Malaysia itu diadakan di sebuah hotel di Ipoh dan antara yang menjadi panel adalah Naib Presiden PAS Idris Ahmad.
Pada 24 November tahun lalu, perdana menteri dan presiden Umno Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemecatan Hamidah daripada parti berikutan gesaan terbukanya supaya Najib meletakkan jawatan.
Sejak itu, Hamidah beberapa kali berkongsi pentas yang sama khususnya bersama pengkritik Najib termasuk pembidasnya yang paling lantang, iaitu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

No comments:

Post a Comment