Friday, January 15, 2016

DR MAHATHIR PERSOAL NASIB KETUA PESURUHJAYA SPRM

mahathir_abu-kassim_sprm

by ARIANNA
2016-01-15
mahathir_abu-kassim_sprm
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam tulisan di blognya hari ini berkata beliau meragui punca penyingkiran Tan Sri Abdul Gani Patail dan mempersoalkan nasib Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Abu Kassim Mohamed. – Gambar FMT

Tun Dr Mahathir Mohamad meragui punca Tan Sri Abdul Gani Patail disingkirkan dan mempersoalkan sama ada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed bakal menerima nasib sama selepas siasatan derma RM2.6 bilion dan SRC International Sdn Bhd selesai.

Dr Mahathir meragui sijil kesihatan Gani yang tidak dikemukakan untuk makluman Yang Dipertuan Agong semasa Putrajaya memecatnya tahun lepas.

Bekas perdana menteri itu berkata, sijil kesihatan itu diperlukan sebagai sokongan jika pelantikan peguam negara perlu mendapatkan perkenan Agong.



“Jika pelantikan seseorang pegawai itu mengikut perkenan Yang di-Pertuan Agong, sijil tersebut perlu ditunjukkan kepada Agong untuk bersetuju dengan persaraannya dan mendapatkan tandatangannya,” kata Dr Mahathir dalam tulisan di blognya chedet.cc hari ini.

Dr Mahathir meragui prosedur itu dalam kes pemecatan Gani kerana beliau masih sihat dan boleh bekerja.

“Sekarang Gani dilaporkan memulakan karier baharunya sebagai peguam.

“Jelas beliau masih sihat bekerja,” kata pengkritik paling lantang pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu.

Dr Mahathir berkata, persoalan yang timbul sekarang ini adakah Abu Kassim akan menerima nasib sama dengan Gani susulan laporan siasatan yang dihantar baru-baru ini berkaitan SRC International.

“Persoalan kini adakah ketua SPRM juga akan bersara awal atas alasan kesihatan?” katanya.

Jika keadaan itu berlaku, Dr Mahathir berkata orang ramai tidak akan mempercayai kerajaan dan menganggap semua tuduhan yang dibuat adalah benar kerana tidak ada sebarang tindakan diambil.

“Penyingkiran Abu Kassim hanya meyakinkan orang ramai semua tuduhan kepada kerajaan adalah benar, ia wujud semata-mata untuk menghalang undang-undang ditegak dan dilaksanakan ke atas pemimpin negara,” katanya.

The Malaysian Insider sebelum ini memetik sumber melaporkan Abu Kassim mungkin akan diganti selepas agensi itu baru saja menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara berhubung derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadi perdana menteri dan anak syarikat Kementerian Kewangan, SRC International. – TMI

No comments:

Post a Comment