Friday, January 15, 2016

Rakyat susah kerana pemerintah, kata Mat Sabu

NIZAM ZAIN

14 JANUARI 2016

 SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa ketidaktentuan ekonomi negara sebenarnya akibat amalan rasuah, penyelewengan, pembaziran dan ketirisan pentadbiran Umno-BN.
Presidennya, Mohamad Sabu berkata perkara itu perlu didedahkan kepada masyarakat agar rakyat tidak terus menanggung kesan besarnya dalam kehidupan rakyat.
"Akibat daripada pemerintahan yang bobrok ini, rakyat berada di tahap yang paling susah, risau dan kerunsingan.
"Golongan pertengahan dan bawahan amat merasai tekanan ekonomi yang berlaku sekarang ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau juga berkata, Biro Kebajikan Amanah akan menggerakkan usaha tersebut untuk membantu rakyat yang tertindas akibat salah laku itu.
"Merekalah menjadi mata dan telinga rakyat bersama Pakatan Harapan serta berusaha membantu mereka yang miskin, tertindas dan menderita akibat daripada penyelewengan itu.
"Lebih penting, kita bersama-sama NGO perlu berterusan memerangi rasuah dan penyelewengan sama ada dilakukan oleh BN atau sesiapa sahaja," ujarnya.
Mohamad juga tidak menolak kejatuhan harga minyak dunia turut memberi kesan besar kepada pendapatan negara.
"Kemiskinan melampau, catuan makan yang dibuat oleh sebahagian mahasiswa dan juga penduduk-penduduk pedalaman khususnya di Sik, Baling, Grik dan Larut perlu dibantu segera," katanya lagi
.

No comments:

Post a Comment