SHAH ALAM - Sekiranya kerajaan terus berada dalam sindrom penafian isu pelajar lapar tidak akan menemui jalan keluar, kata Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman.
Beliau berkata, isu pelajar lapar di universiti adalah perkara yang benar-benar berlaku terutamanya di universiti-universiti awam.
Menurut beliau, masalah pelajar lapar ini bukan hanya memudaratkan kesihatan tetapi turut menganggu pelajaran mereka sehingga ada yang dibuang daripada universiti.
“Ini realiti. Kecenderungan menafikan sesuatu perkara terus diamalkan kerajaan hari ini termasuklah dalam isu ini.
“Ketika saya menjadi dekan Universiti Malaya (UM), saya pernah membangkitkan perkara ini sebanyak dua kali dan isu ini dibincangkan diperingkat tertinggi namun perkara itu berakhir begitu sahaja kerana hanya fakulti saya saya ketika itu dikatakan mengalami masalah tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohammad Redzuan berkata demikian selepas melawat Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf) bersama Timbalan Naib Canselor (TNC), Hal Ehwal Pelajar (HEP), Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin; Ketua Kewangan Unisel, Muzaiyanah Mustakim; Pendaftar Unisel, Mohammad Sulaiman dan beberapa pegawai kanan Universiti.
Kunjungan mereka disambut oleh Pengarah Urusan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.
Bekas Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMcedel) itu turut berkongsi pengalamanya ketika menyoal siasat pelajar kenapa ada sahaja pelajar yang dibuang di akhir semester.
“Saya pelik kenapa di akhir semester ada sahaja pelajar yang dibuang, saya tanya kepada pensyarah terlibat dan mereka kata sebab pelajar itu tidak hadir ke kelas jadi markah tidak cukup. Saya cuba temui pelajar tersebut dan mereka memberitahu sukar untuk datang ke kelas pada waktu pagi akibat bekerja pada waktu malam untuk menampung perbelanjaan di universiti.
“Wang bantuan pembelajaran yang diterima daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPN) hanya cukup untuk bayar yuran sebaliknya untuk belanja harian perlu tampung sendiri,” katanya.
Menurut beliau, bagi pelajar yang datang daripada keluarga yang susah mereka perlu mencari alternatif lain termasuk mencari kerja sampingan malah ada yang menjual tin dan surat khabar lama hanya untuk mendapatkan wang saku sebanyak RM15 ke RM20.
Tambah beliau lagi, kebanyakan pelajar yang datang daripada keluarga miskin hanya akan makan sekali atau dua kali sehari sahaja.
“Mereka selalunya akan 'skip' makan pagi untuk berjimat untuk makan tengahari. Tetapi kesannya besar pelajar sukar beri tumpuan dalam kelas terutamanya ketika peperiksaan,” katanya.
Mohammad Redzuan berkata, masalah pelajar lapar ini boleh diselesaikan sekiranya kerajaan keluar daripada sindrom penafian.
“Kenapa malu nak mengaku? Dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi sekarang ini perkara itu memang terjadi. Pihak universiti perlu sensitif dalam perkara sebegini dan perlu ambil tahu.
“Ada pelbagai jalan penyelesaian boleh dilakukan, rakyat Malaysia ini pemurah. Contoh ada beberapa universiti yang memberi kupon makan kepada pelajar yang kurang bekemampuan,” katanya.
Semalam, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh meminta semua pihak agar tidak membangkitkan lagi dakwaan yang mengatakan ada pelajar di universiti awam kebuluran disebabkan tidak cukup makan.
Menurut Idris, universiti awam mempunyai dana iaitu tabung kebajikan dan zakat lebih daripada RM15 juta dan seramai 31,776 pelajar telah menerima bantuan kewangan, pembayaran yuran pengajian, hospital, serta perubatan.
Isu pelajar lapar mula hangat diperkatakan apabila seorang pelajar universiti awam yang ususnya terkoyak kerana 'ikat perut'.
Mohammad Redzuan yang baru dilantik awal Januari lalu berkata, beliau akan membawa Unisel melangkah jauh ke depan dalam melahirkan pelajar-pelajar yang berketerampilan.
Katanya, cabaran semasa hari ini bukan sahaja mahukan graduan yang cemerlang dalam pelajar tetapi keyakinan diri seseong mendepani cabaran juga satu nilai yang perlu diasah
.