Saturday, September 29, 2012

Bajet 2013: Bajet panik, bajet selamat tinggal


KUALA LUMPUR: Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah belanjawan panik yang takut kepada kebangkitan rakyat, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.


Tetapi, katanya lagi, apa pun yang diumum dan diberikan oleh Najib dalam belanjawan itu tidak akan dapat membendung kemaraan gelombang kebangkitan rakyat menolak Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Belanjawan tersebut adalah belanjawan selamat tinggal dari Najib sama ada sebagai Perdana Menteri atau Menteri Kewangan," kata Mahfuz.

Beliau berkata, sama ada BN kalah atau menang dalam pilihan raya umum akan datang, inilah penggal terakhir bagi Najib dalam kabinet.

"Kalau dengan segala tipu dayanya BN menang sekalipun dalam pilihan raya akan datang, ia dijangka lebih tipis dari kemenangannya pada tahun 2008.

"Akibatnya, Najib akan dihambat seperti Umno hambat Pak Lah (Perdana Menteri sebelum ini, Tun Abdullah Ahmad Badawi) setelah beliau gagal mendapatkan majoriti dua pertiga untuk BN dalam pilihan raya 2008 lalu," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Bagi Mahfuz, belanjawan tersebut bagaikan wasiat Najib dalam pembahagian harta.

"Berbilion-bilion diwasiatkan untuk anak-anak kesayangan atau kroni-kroni Umno yang pakar membodek dan mengampu.

"Anak-anak yang tak mahu atau tak pandai membodek dan mengampu pula, dapatlah sagu hati RM1,000, RM250, RM200 atau RM7.80," katanya.

Tumpuan belanjawan panik Najib itu, kata Mahfuz, adalah untuk menggula-gulakan rakyat supaya memberi peluang kepada Umno BN sekali lagi.

Namun begitu, katanya, masih terdapat unsur ketirisan dan hendak mengkayakan kroni.

"Walaupun hendak menggula-gulakan rakyat supaya terus menyokong Umno BN, tetapi belanjawan itu bukan untuk rakyat," katanya.

Belanjawan yang tidak pro-rakyat itu, kata Mahfuz, tidak mempedulikan masalah fundamental dalam ekonomi negara seperti penghapusan rasuah, salah urus dan percanggahan yang besar antara perancangan dan perlaksanaan.

"Belanjawan itu juga mengetepikan soal akauntabiliti," katanya.

Beliau juga menyifatkan belanjawan itu kosong dengan pendekatan yang menarik perhatian untuk meningkatkan ekonomi.

"Tidak ada perkara baru seperti perancangan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang diumumkan oleh (Tun) Dr Mahathir dulu.

"Belanjawan Najib tidak ada daya penarik. Orang Putih kata tak ada 'wow factor'," katanya.

Mahfuz juga menyifatkan belanjawan itu tidak mengetengahkan reformasi kepada struktur ekonomi.

"Kita baca berita tentang belanjawan Perancis yang dipanggil 'combat budget' dengan memberikan tumpuan kepada pengurangan hutang negara serta kos pinjaman yang kian meningkat dan pengurangan defisit perbelanjaan awam," kata beliau.

Sebaliknya, kata Mahfuz, belanjwan Najib tidak memberi tumpuan kepada hutang negara yang telah mencecah RM476 bilion.

"Kerajaan Umno BN juga masih tidak mengemukakan langkah untuk membawa pulang semula RM1.08 trilion ke dalam negara," katanya lagi..
-harakah

No comments:

Post a Comment