Tuesday, November 23, 2010
Bajet 2011 RM8.711 bilion
KUANTAN – Kerajaan Negeri menyasarkan sebanyak RM871,117,390 untuk Bajet 2011 bagi negeri ini dengan RM600,424,140 disediakan untuk perbelanjaan pengurusan dan RM270,693,250 untuk peruntukan pembangunan.
Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob berkata, bagi peruntukan perbelanjaan pengurusan, sebanyak RM250,976,050 atau 41.8 peratus disediakan untuk emolumen, RM216,450,120 atau 36.05 peratus disediakan untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap, RM129,573,790 atau 21.58 peratus disediakan untuk perkhidmatan dan bekalan sementara selebihnya adalah untuk aset dan perbelanjaan lain.
Beliau berkata, peruntukan perbelanjaan pengurusan itu juga disediakan untuk belanja mengurus jabatan iaitu sebanyak RM462,590,890, manakala RM137,833,250 adalah untuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan dan bekalan air.
“Daripada jumlah peruntukan mengurus jabatan itu, sebanyak RM419,419,400 adalah untuk batas perbelanjaan, RM20,103,590 untuk dasar baru manakala RM23,067,900 adalah untuk one-off,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet Negeri Pahang Tahun 2011, sempena Persidangan Kali Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-12, di Wisma Sri Pahang, di sini semalam.
Adnan berkata, jumlah peruntukan perbelanjaan pengurusan itu melebihi hasil yang dijangka dapat dikutip pada tahun depan iaitu sebanyak RM532,117,720.
“Ini menjadikan bajet negeri ini pada 2011 berada dalam keadaan defisit sebanyak RM68,246,420.
“Bagaimanapun, kedudukan defisit ini jauh lebih baik dari anggaran defisit 2010 iaitu sebanyak RM92,481,950 dan kerajaan akan meneruskan usaha mengurangkan jumlah defisit ini pada tahun-tahun akan datang bagi mendapat kedudukan kewangan yang lebih sihat,” katanya.
Beliau berkata, bagi peruntukan pembangunan, sejumlah RM270,693,250 disediakan untuk projek pembangunan iaitu RM187,933,250 adalah dari sumber dalam negeri manakala RM82,760,000 adalah dari sumber pinjaman dari Kerajaan Persekutuan bagi projek bekalan air.
Menurutnya, mulai Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), kerajaan akan melaksanakan projek dan program secara rolling plan untuk setiap dua tahun bermula 2011 hingga 2012.
Katanya, pendekatan ini membolehkan komitmen kerajaan untuk melaksanakan program dan projek berdasarkan kemampuan kewangan kerajaan dan memberi fleksibiliti kepada kerajaan untuk mengambil kira keutamaan baru sesuai dengan persekitaran ekonomi domestik dan global.
“Kesemua cadangan program dan projek yang akan dilaksanakan dalam tempoh RMK-10 akan sentiasa dikaji kewajarannya khususnya untuk menjadikan Pahang bergerak lebih pantas mengejar negeri di Pantai Barat untuk menjadi negeri maju,” katanya.
Adnan juga berkata, program dan projek yang akan dilaksanakan pada 2011 adalah projek sambungan dari Rancangan Malaysia Kesembilan dan projek baru yang dilaksanakan menggunakan pendekatan rolling plan hanya akan mula dilaksanakan mulai 2012.
“Bagaimanapun, perancangan untuk menyusun senarai keutamaan pelaksanaan projek Rancangan Malaysia Ke-10 bolehlah dimulakan sekarang sehingga 2011 dan mulai 2012 pelaksanaan program dan projek yang ditentukan keutamaan boleh bermula,” katanya.
Labels:
Bajet
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment