KUALA LUMPUR: Menariknya dalam Bajet 2013 kali ini yang dibentangkan Perdana Menteri didapati bajet ‘one off’ paling banyak dalam sejarah sejak 55 tahun kemerdekaan.“Maka pakar-pakar ekonomi yang begitu menjunjung bajet berkebajikan tersebut dengan manis mulut melambung-lambung pujian kepada kerajaan seolah-olah bajet yang dikurniakan itu merupakan duit dari poket dia sendiri,” kata Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin A. Razali (gambar).
Katanya, kenyataan berkenaan dengan bajet one off ini sehingga mencecah angka billion merupakan belanjawan yang bersifat ‘seronok sementara tetapi merana sepanjang masa’.
“Boleh kita ibaratkan seperti seseorang yang kelaparan, kita hanya menjamunya pada waktu tengah hari dan selepas itu ‘bye bye’. Inilah bajet 1 off,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau mengemukakan beberapa noktah, antaranya kalau tidak bagipun kepada rakyat, rakyat tidak akan mati dan rakyat tidak kaya dengan RM250 atau RM500.
Justeru, katanya ia bajet pilihan raya untuk meraih undi.
Beliau berkata, bahasa yang digunakan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir sebagai ‘bajet menyerupai rasuah’.
Tambahnya, rakyat memerlukan wang tetapi yang lebih diperlukan pekerjaan.
“Berapa banyak graduan yang tiada pekerjaan? Berapa banyak yang sepatutnya mengisi guru-guru tetapi diabaikan?
“Berapa banyak jawatan penjawat awam yang tidak mampu diisi dan berlaku kekosongan? Kenapa harga barang tidak diumumkan penurunan?” tanya beliau.
Justeru, menurutnya sudah sampai masanya kerajaan perlu bersikap serius dan bertanggungjawab sepanjang masa bukan hanya one off yang sudah pasti mahu melepaskan tanggungjawab atau dalam bahasa yang lain hanya mahu meraih undi untuk PRU dan mencanangnya sebagai bahan kempen.
“Marilah sama-sama kita menginsafi bahawa belanjawan sebenarnya bukan bersifat sekali makan tetapi perlu dirasai oleh segenap lapisan masyarakat sepanjang tahun melalui insentif yang lebih bersifat umum seperti penurunan harga barang,” katanya.-Harakah
No comments:
Post a Comment