2011/03/29
Aktivis dituduh cuba lumpuh Parti Komunis BEIJING: Polis China menahan penulis blog terkenal negara itu, Ran Yunfei kerana didakwa mencabar Parti Komunis, kata rakan rapat blogger itu, tindakan keras terbaru menyasarkan golongan berbeza pendapat dengan kerajaan dengan menyekat mereka daripada terus memberi pandangan anti pemerintah.Seorang aktivis yang juga rakan Ran, Wang Yi, berkata penulis dan pengarah majalah sastera dari wilayah Sichuan itu sebelum ini ditahan selama sebulan tanpa dakwaan. Beliau kemudian ditangkap secara rasmi atas tuduhan menghasut dan memecah-belahkan rakyat.
Ran, 46, ditahan polis di Chengdu 20 Februari lalu, ketika tunjuk perasaan dan bantahan besar-besaran berlaku di Asia Barat, mencetuskan gesaan online agar satu ‘Revolusi Bunga Melur’ yang sama dilakukan di China.
Dakwaan sama juga dikenakan ke atas Liu Xiaobo, seorang pembangkang yang menerima Anugerah Keamanan Nobel, tetapi menimbulkan kemarahan Beijing.
“Pada dasarnya, mereka didakwa melakukan jenayah kerana menyuarakan pendapat. Di dalam kes ini juga, pendakwa akan menggunakan rencana yang disiarkan Ran di internet sebagai alasan,” kata Wang yang juga seorang pakar perundangan.
Liu pula dihukum penjara 11 tahun sejak 2009 kerana menjadi penulis bersama menifesto Piagam 08 yang menggesa pembaharuan politik di China. Beliau dilihat sebagai pencabar Parti Komunis yang paling lantang pernah diketahui.
Pihak berkuasa China dilaporkan meningkatkan usaha melumpuhkan sebarang bentuk cabaran ke atas Parti Komunis menjelang penyerahan kepemimpinan parti itu pada akhir 2012.
Wang berkata, isteri Ran menerima notis penahanan semalam, walaupun tarikhnya berkuat kuasa Jumaat lalu, hari yang sama mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas pembangkang dari Sichuan, Liu Xianbin, kerana menggesa pembaharuan demokratik dilakukan.
Penahanan Ran juga disahkan seorang lagi rakan karib beliau yang namanya tidak didedahkan berikutan bimbang dengan tindakan pihak berkuasa. – Reuters
No comments:
Post a Comment