Sunday, October 3, 2010

Isteri Kuan Yew meninggal dunia



KWA GEOK CHOO


SINGAPURA 2 Okt. – Isteri kepada Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew telah meninggal dunia pada usia 89 tahun.
Kwa Geok Choo yang juga ibu kepada Perdana Menteri Singapura sekarang, Lee Hsien Loong, terlantar sakit selama lebih dua tahun tanpa boleh bergerak atau bercakap, meninggal dunia pada pukul 5.40 petang tadi di rumahnya.
“Isteri kepada Kuan Yew, 89, meninggal dunia dengan aman di kediamannya pada 5.40 petang,” jelas kenyataan Pejabat Perdana Menteri, yang turut menyatakan pengebumian akan dijalankan pada 6 Oktober ini.
Kuan Yew sendiri telah berada di hospital sejak tiga hari lalu akibat jangkitan paru-paru. Namun hari ini beliau dilihat semakin sihat ketika berbicara dengan Presiden Pertubuhan Pengangkutan Udara Antarabangsa, Giovanni Bisignani di bilik rawatannya.
Beliau dalam satu temu bual telus bulan lalu menyatakan penderitaan isterinya adalah antara perkara paling sukar dihadapinya.
“Apa perlu dibuat? Perkara apa yang dapat saya buat?. Saya tidak boleh menyerah kalah. Kehidupan mesti diteruskan, namun ketika detik berlalu saya teringatkan kenangan manis semasa kami bersama.
“Dia faham ketika saya bercakap dengannya setiap malam. Dia berjaga untuk saya dan saya menceritakan kerja seharian saya, membacakan puisi kegemarannya,” kata beliau lagi.
Kedua-dua mereka belajar di sekolah yang sama di Singapura, Raffles College dan Cambridge University untuk mendapatkan kelulusan undang-undang. Kuan Yew dan Geok Choo berkahwin pada 1950.
Anak bongsu pasangan ini, Lee Hsien Yang mengendalikan Singapore Telecommunications, syarikat terbesar negara selama 12 tahun sebelum menjadi pengerusi firma hartanah dan minuman konglomerat, Fraser & Neave.
Anak perempuan mereka, Lee Wei Ling pula merupakan pengarah di National Neuroscience Institute. – REUTERS

No comments:

Post a Comment