Friday, January 28, 2011

Strategi Kuan Yew cuba lagakan negara jiran?



KUALA LUMPUR 27 Jan. - Dakwaan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew bahawa wujudnya konspirasi dalam kalangan negara jiran yang mahu menjatuhkan Singapura adalah strategi beliau untuk menimbulkan kekecohan dan melaga-lagakan negara di rantau ini.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, dakwaan tersebut akan mewujudkan konflik antara Singapura dengan negara tetangga termasuk Malaysia dan Indonesia.
Katanya, kenyataan tidak bertanggungjawab itu seolah-olah sengaja dilakukan oleh Menteri Mentor Singapura itu.
''Dalam hal ini, kita mahukan kerajaan Singapura pimpinan anak Kuan Yew sendiri iaitu Lee Hsien Loong menyatakan pendirian sebenar republik itu terhadap negara-negara jirannya sama ada menyokong kenyataan peribadi Kuan Yew itu atau sebaliknya kerana ia memberi kesan kepada hubungan antara negara di rantau ini.
''Bagi pihak MBM, kami akan mengusulkan agar isu ini dibincangkan pada dialog Malindo di antara persatuan belia Malaysia dan Indonesia yang dijangka berlangsung tahun ini kerana kenyataan terbuka Kuan Yew itu dilihat mengancam ketenteraman rantau Asia Tenggara," katanya.
Beliau mengulas dakwaan Kuan Yew menerusi buku Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going mengenai wujudnya kempen dari luar untuk menjatuhkan negara itu kerana dianggap penceroboh selain menurutnya terdapat usaha di pihak Malaysia dan Indonesia mahu menjejaskan perniagaan pelabuhan negara berkenaan.
Tokoh akademik, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim pula berpendapat, dakwaan Kuan Yew terhadap negara-negara jirannya itu merupakan strateginya untuk mengalihkan perhatian rakyat Singapura terhadap masalah dalaman yang melanda negara tersebut.
Katanya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Singapura mengalami masalah dalaman sehingga Kuan Yew terpaksa menutup sebuah universiti tempatan iaitu Universiti Nanyang tanpa sebab munasabah.
''Kita jangan layan dakwaan-dakwaan Kuan Yew. Beliau sudah menggunakan strategi yang sama sejak era 1960-an lagi dan semua orang tahu beliau ada agenda tersembunyi.
''Tindakan beliau itu semata-mata mahu melaga-lagakan rakyat negara jiran. Kita jangan lupa bahawa beliaulah punca berlakunya rusuhan antara kaum suatu ketika dahulu, jadi jangan ambil berat sangat mengenai dakwaan beliau itu," ujarnya.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. P. Sivamurugan berkata, kenyataan Kuan Yew itu tidak mengutamakan dasar multilateral dan bilateral yang diamalkan oleh kebanyakan negara di rantau Asia Tenggara.
Katanya, tiada sebab untuk Kuan Yew takut kepada negara jirannya kerana selama ini negara-negara tersebut tidak pernah mengancam keamanan Singapura.
''Jika terdapat sebarang masalah atau mungkin Kuan Yew berasa tertekan dengan pembangunan pesat Malaysia serta negara jiran lain seperti Thailand dan Indonesia, beliau sepatutnya menggunakan pendekatan ASEAN untuk menyelesaikannya secara baik," katanya.

No comments:

Post a Comment