Oleh Abu Bakar Al Sidek
bhnews@bharian.com.my
2010/09/08
SURAU di Taman Perumahan Desa tidak mampu menampung jemaah.
Surau tak dapat tampung jemaah daripada tujuh taman perumahan
SUNGAI MANIK: Penduduk Taman Perumahan Desa Maju Perak, Langkap, dekat sini berharap sebuah masjid dibina di taman itu berikutan surau sedia ada tidak lagi dapat menampung kariah yang datang solat berjemaah khususnya setiap Jumaat, selain solat sunat Aidilfitri atau Aidiladha.
Pengerusi surau, Abdullah Tabab Tertomejo, berkata surau kecil sedia ada terpaksa menampung jemaah daripada tujuh taman perumahan, selain penduduk Kampung Tersusun Alor Bakong dan kawasan sekitarnya.
Katanya, keadaan itu menimbulkan suasana tidak selesa di kalangan jemaah, terutama ketika menunaikan solat Jumaat dan raya.
"Surau ini hanya mampu menampung 500 jemaah tetapi ada ketika kalanya bilangan jemaah datang berganda hingga menyebabkan mereka terpaksa bersolat di luar surau dan bawah khemah,” katanya di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, masalah pembinaan masjid baru pernah dikemukakan kepada tiga wakil rakyat sebelum ini, tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas sehingga kini.
Sehubungan itu, Abdullah berkata, penduduk berharap wakil rakyat sekarang memberi perhatian serius terhadap keperluan itu.
"Jawatankuasa yang ditubuhkan bagi pembinaan masjid ini akan berusaha keras mengumpul derma daripada orang ramai.
"Kami juga akan mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri dan Pusat untuk mendapatkan dana," katanya.
Sementara itu, seorang jemaah, Mohd Akob Sulaiman, 65, berkata pihaknya berharap pihak yang berkaitan prihatin terhadap keperluan penduduk di situ untuk mendapatkan sebuah masjid yang lebih besar dan selesa.
Katanya, surau sedia ada memang tidak dapat menampung bilangan jemaah, terutama solat Jumaat dan raya.
"Jika hujan, jemaah yang menunaikan solat di bawah khemah akan terkena tempias hujan," katanya.
No comments:
Post a Comment