Monday, August 23, 2010

Anggota demokrat juga bantah bina masjid dekat lokasi 9/11




2010/08/23

NEW YORK: Semakin ramai anggota Parti Demokrat Amerika Syarikat khususnya di New York dan sekitarnya tidak menyokong pandangan Presiden Barack Obama minggu lalu bahawa orang Islam berhak membina masjid dan menjalankan kegiatan keagamaan dekat lokasi 9/11. 

Penganalisis percaya, lapan anggota Demokrat mungkin kalah dalam pilihan raya separuh penggal tahun ini sekali gus hilang majoriti di Kongres. Parti Demokrat menguasai 27 kerusi Senat dan 29 kerusi Kongres di New York.Bermula dari timur Long Island hingga ke kawasan pedalaman lebih mewah, anggota Demokrat menentang pembinaan bangunan diberi nama Pusat Cordoba menempat masjid, gimnasium, kolam renang dan pusat budaya bernilai AS$100 juta (RM320 juta), dua blok dari lokasi 9/11.Kira-kira 2,700 orang terbunuh dalam kejadian pada September 2001 meskipun 300 daripadanya adalah orang Islam jarang disebut. 

Anggota Demokrat terbaru tidak menyokong pandangan Obama ialah John Hall yang sudah dua penggal berkhidmat di daerah ke-19 di utara New York dan bakal menghadapi tentangan pencabar Republikan, Nan Hayworth. 

Dalam kenyataannya, beliau berkata, kebebasan beragama adalah asas demokrasi tetapi berharap projek itu dibina di tempat lain. 

Saya berpendapat, langkah terbaik ialah membina pusat itu di tempat lain sebagai menghormati mereka yang terbunuh dalam insiden 11 September selain menunjukkan kita sensitif kepada keluarga mangsa, katanya. 
Hall menyertai tiga anggota Demokrat lain yang dipercayai berkedudukan goyah menghadapi pilihan raya November depan, membantah pembinaan Pusat Cordoba. 

Di Long Island, seorang lagi anggota Demokrat, Tim Bishop, berkata pengusaha pusat Islam patut memindahkan pembinaan ke tempat lain kerana lokasi 9/11 wajar menjadi simbol persefahaman antara agama. Perwakilan Demokrat di Staten Island, Mike McMahon juga berharap projek itu dibina di tempat lain. 

Pandangan mereka sedikit sebanyak dibantu kenyataan Ratu Amerika Syarikat 2010, Rima Fakih, berketurunan Lubnan yang dilaporkan berkata bahawa Pusat Cordoba terlalu hampir dengan tempat berlakunya serangan terburuk dalam sejarah Amerika. Agensi 

No comments:

Post a Comment