Friday, May 18, 2012

7 tahanan ISA henti mogok lapar: SUHAKAM




2012/05/18

TAIPING: Mogok lapar oleh tujuh tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Tempat Tahanan Perlindungan Taiping di Kamunting di sini sejak 12 Mei lalu berakhir hari ini selepas pertemuan dengan wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan agensi berkenaan.

Pesuruhjaya SUHAKAM, James Nayagam, berkata tahanan berkenaan melancarkan mogok lapar kerana tidak berpuas hati kerana masih belum dibebaskan walaupun ISA sudah dimansuhkan.
"Semua tahanan yang melancarkan mogok lapar itu membabitkan enam tahanan warga asing (India, Sri Lanka, Iraq dan Indonesia) dan seorang rakyat tempatan yang ditahan atas pelbagai kesalahan, dan (mereka) mengadakan mogok lapar kerana mahu pembebasan awal," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan tahanan berkenaan di sini hari ini.
Beliau berkata, tindakan mogok lapar itu berakhir selepas pertemuan diadakan antara wakil SUHAKAM, Kementerian Dalam Negeri (KDN), polis dan pengurusan Tempat Tahanan Perlindungan itu.

Katanya, pada awalnya mogok lapar itu membabitkan tujuh tahanan sebelum tiga daripada mereka menarik diri pada Selasa lalu yang kemudiannya disertai tiga tahanan lain.

"Semua tahanan berkenaan beranggapan semua individu yang ditahan di bawah ISA perlu dibebaskan berikutan akta itu telah digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata selepas SUHAKAM menerangkan bahawa terdapat satu klausa yang memerlukan mereka menghabiskan tempoh tahanan yang ditetapkan kerana akta baru itu digunakan untuk kes baru sahaja, mereka kemudiannya akur. 
"Selepas penerangan itu mereka menerima dengan positif lalu bersetuju menghentikan mogok tersebut," katanya.

Beliau berkata, SUHAKAM akan membawa perkara ini kepada pengetahuan KDN untuk melihat langkah terbaik bagi menanganinya.

"SUHAKAM akan membuat siasatan sewajarnya dan bercadang untuk mengadakan perjumpaan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dalam masa terdekat," katanya.

Pada 9 Mei lalu, Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Rang undang-undang yang dibahagikan kepada lapan bahagian itu dibentang berikutan pemansuhan ISA 1960 seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada September tahun lalu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment