Pemandu teksi hilang sabar
Sebahagian daripada pemandu teksi yang menyertai mogok, kelmarin.
Pemandu teksi hilang sabar
Mogok selama lima jam itu turut menarik perhatian orang awam yang berada di kawasan pusat beli-belah berhampiran.
KUALA LUMPUR - Lebih 200 pemandu teksi Lembah Klang mogok di hadapan pusat membeli-belah di Bukit Bintang kelmarin, sebagai tanda protes terhadap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang disifatkan menjalankan penguatkuasaan ke atas pemandu teksi tanpa bertolak ansur.

Tindakan sedemikian dilihat tidak wajar dalam situasi yang disifatkan mereka kini sukar ‘mencari makan’ dengan kewujudan perkhidmatan bas percuma Go KL yang menambah ‘seksa’ mereka untuk memperoleh pendapatan.

Protes bermula sejak kira-kira jam 2.30 petang, berlarutan sehingga jam 7.30 malam apabila mereka tidak mahu berganjak selagi tiada pihak tertinggi SPAD yang turun berjumpa mereka.

Mogok yang berlangsung juga membuatkan 20 anggota polis berkawal dan terpaksa menutup jalan menuju dari Jalan Raja Chulan ke Bukit Bintang dalam tempoh tertentu bagi mengelakkan kesesakan bertambah teruk.

Bagaimanapun, kehadiran wakil SPAD yang kemudiannya bersetuju mengadakan perbincangan bersama wakil pemandu teksi meredakan keadaan.

Pemandu teksi yang menyertai mogok kemudiannya bersurai secara berperingkat pada kira-kira jam 7.30 apabila pihak SPAD memberi jaminan tiada tindakan penguatkuasaan yang akan dibuat pada malam itu selain berjanji akan membuat perbincangan lanjut bersama wakil mereka.


Banyak isu berbangkit

Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur (Bukit Bintang), Mohamed Asharaf Yasin berkata, rasa tidak puas hati mereka memuncak dengan kejadian yang berlaku pada malam Ahad lalu apabila terdapat anggota penguatkuasaan SPAD menjalankan tindakan dengan lagak samseng.

Menurutnya, beberapa perkara lain yang selama ini dihadapi pemandu teksi khususnya di Bukit Bintang juga membuatkan mereka sudah tidak tahan lagi dan memilih untuk mogok agar semua isu-isu berkenaan diberi perhatian serius pihak bertanggungjawab.

“Tidak cukup terpaksa berhadapan dengan ulat teksi Arab, kami terpaksa berdepan dengan tindakan penguatkuasaan dan sering disaman kerana menunggu untuk mengambil penumpang.

“Perkhidmatan bas percuma juga tambah menjejaskan pendapatan kami yang sedia terjejas ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Laporan polis turut dibuat Setiausaha persatuan itu, Mohd Jamal Abdul Nasir Mohd Saad, berhubung insiden yang berlaku pada Ahad lalu.

Memetik daripada laporan polis yang dibuat, Mohd Jamal berkata, pendekatan yang diambil oleh pegawai SPAD bertugas disifatkan mengguna kuasa mengikut emosi dengan bertindak secara kasar dan membuat provokasi.

“Sejak kebelakangan ini pendapatan kami merosot sebanyak 70 peratus disebabkan bas percuma, aktiviti ulat Arab dan tempatan tidak berlesen yang langsung tiada tindakan daripada pihak berkaitan walaupun sudah 14 laporan polis dibuat,” katanya.


Spad siasat dakwaan

Sementara itu, Ketua Jabatan Perundangan SPAD, Farizul Hazli Baharom berkata, dakwaan mengatakan terdapat perilaku biadab pegawai SPAD dalam melaksanakan penguatkuasaan ke atas pemandu teksi akan disiasat.

Menurutnya, hasil perbincangan ringkas bersama wakil berkenaan, pihaknya bersetuju mengambil serius sembilan perkara yang disenaraikan.

Bahkan katanya, perbincangan secara lanjut juga akan dibuat dalam mencapai satu keputusan yang memuaskan hati semua pihak.

“Kami faham mogok yang dibuat bukannya untuk suka-suka, jadi kami akan mengambil serius semua perkara dibangkitkan. SPAD akan menyiasat dakwaan berhubung tindakan penguat kuasa SPAD dan jika didapati pegawai tidak menjalankan tugas dengan tertib seperti didakwa, kita akan ambil tindakan,” katanya.

Difahamkan, perbincangan lanjut turut dibuat semalam, namun tiada sebarang perkembangan dilaporkan.


Setuju lihat masalah dituntut

Dalam pada itu, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Ahmad Albar dalam kenyataan ringkasnya semalam berkata, pihaknya mengadakan pertemuan bersama kumpulan Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur (Bukit Bintang).

Katanya, pertemuan yang berlangsung selama dua jam itu membincangkan sembilan perkara yang disenaraikan kumpulan tersebut.

“SPAD bersetuju untuk melihat masalah yang mereka kemukakan. SPAD juga akan memanggil mesyuarat dengan agensi berkaitan bagi mencari penyelesaian kepada perkara dibangkitkan persatuan tersebut bagi mengatasi masalah jangka pendek dan jangka panjang mereka,” katanya.