Tuesday, April 26, 2011

10 tahun alami masalah air



KAMPUNG BINTANG- Penduduk kampung minta pihak Jabatan Bekalan Air (JBA) menggantikan paip air lama di kampung itu kerana dikatakan tidak relevan serta tidak mampu menampung jumlah pengguna yang kian bertambah.

Salasiah Hanafiah, 62, berkata, paip air di kampung itu dikatakan dipasang pada tahun 1988 dan kini ia tidak mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk terutama empat keluarga di kampung ini yang rumah mereka terletak di atas bukit.

Menurutnya, masalah air yang agak serius ini dikatakan bermula pada tahun 2001 apabila penduduk di rumah atas bukit hanya mampu menerima bekalan air pada waktu malam sahaja.

“Penduduk di bawah bukit dapat menerima bekalan air tetapi dalam kuantiti yang sedikit, tetapi penduduk di atas bukit langsung tidak menerima bekalan air.

“Kami di atas bukit ini hanya mampu menerima bekalan air pada waktu malam kira-kira jam 3 pagi selama dua jam sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, masalah bekalan air di kampung ini dikatakan makin kritikal apabila mereka sudah dua minggu tidak menerima bekalan air walaupun pada waktu malam. P

Salasiah berkata, dia sudah berkali-kali menghubungi JBA dan pihak berkenaan memberitahu tidak tahu punca sebenar ketiadaan air itu.

Menurutnya, tekanan air itu yang rendah menyebabkan mereka di empat buah rumah atas bukit itu tidak menerima bekalan air dan keadaan itu mendatangkan masalah kepada mereka.

“Sebelum ini kami menerima air sebelah malam tetapi dua minggu kebelakangan air langsung tidak ada air. Kalau ada air sebelah malampun tidak mengapa kerana boleh kami kumpul air bagi tujuan membasuh pakaian, mandi, solat dan sebagainya.

“Cucu-cucu saya terpaksa menumpang air di surau untuk membasuk kasut sekolah mereka. Sampai bila masalah ini akan berlaku sedangkan kami sebagai rakyat memerlukan bekalan air dan perkhidmatan yang terbaik daripada JBA,” katanya.

Tambahnya lagi, untuk mengatasi masalah itu dia terpaksa meminta bantuan anak-anaknya yang tinggal berjauhan untuk pulang bagi membina kolah air di bilik mandi dan membina takungan air di atas bumbung.

“Kolah air yang dibina tahun 2001 itu juga tidak mampu menampung keperluan seharian. Saya harap kerajaan negeri dapat melihat permasalahan ini dan menggantikan semula paip lama kepada paip yang lebih besar untuk kemudahan penduduk di sini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Noranita Abdul Jabar, 40, berkata, dia terpaksa meminta bantuan daripada jiran-jiran di bahagian bawah bukit untuk menumpang mengambil air.

Menurutnya, sampai bila keadaan ini harus berlaku dan mereka tidak mampu untuk memunggah air dari Sungai Pahang yang terletak agak jauh dari rumah mereka.

“Saya kasihan pada warga emas yang terpaksa memunggah air setiap masa semata-mata untuk mandi, membasuh dan mengambil wuduk. Kami harap JBA dapat segera mencari penyelesaian kepada masalah yang berlaku sekian lama ini.

“Dengan adanya paip baru saya yakin masalah ini dapat diatasi dan mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk,” katanya.

Menurutnya, mereka mengharapkan hujan bagi membantu menadah air tetapi hujan juga tidak turun sekian lama menyebabkan kesukaran mereka kian bertambah.

No comments:

Post a Comment