Friday, September 28, 2012

Sengsara tiada bekalan air

Sengsara tiada bekalan air
Penduduk terpaksa menakung air yang memakan masa lama
untuk penuh kerana tekanan air rendah
JERANTUT - Lebih 500 penduduk di Felcra Tembeling Tengah, Kuala Tahan dekat sini menghadapi kesulitan mendapatkan air bersih sejak lima hari lalu apabila paip besar yang menyalurkan air ke kawasan perumahan itu dikatakan pecah.

Lebih merunsingkan penduduk, bekalan air tidak dapat disalur dalam masa terdekat kerana kerja membaiki dilihat dihentikan oleh kontraktor yang mendakwa tidak mempunyai alat ganti.

Seorang penduduk, Shaharuddin Abdul Karim, 47, berkata, masalah itu sudah berlarutan sejak lima hari lalu, tiada alasan mengapa kontraktor terbabit masih belum dapat membaikinya.

“Isu bekalan air yang berlarutan ini sudah tentu menyusahkan penduduk, bayangkan hidup kami tanpa bekalan air?. Penduduk berasa tidak tenteram ekoran banyak kerja seharian terbengkalai," katanya.


Tekanan air rendah

Seorang lagi penduduk, Abdullah Abdul Raffar, 59, berkata, bagi keluarga yang mempunyai bilangan anak ramai sudah tentu menyukarkan kehidupan mereka.

Menurutnya, segala tugasan rumah seperti mengemas, membasuh dan memasak semuanya memerlukan air.

“Pada masa kini, kami terpaksa menggunakan saluran paip lama yang menyalurkan air bukit ke rumah kerana terdesak mendapatkan bekalan air. Bagaimanapun, tekanan air tidak kuat menyebabkan kami terpaksa menakung air yang hanya meleleh dari paip," katanya.

Dia berkata, keadaan ini menyukarkan penduduk mengadakan majlis seperti kenduri kahwin pada hujung minggu.

“Penduduk terbeban kerana pelbagai kerja tergendala terutama apabila ingin membuat persiapan kenduri kahwin. Penduduk berasa susah hati sekiranya bekalan air terputus pada saat genting seperti ini kerana banyak kerja perlu dibereskan dan rumah pula dipenuhi ramai tetamu yang hadir memeriahkan majlis," katanya.


Paip beri banyak alasan

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Perumahan Felcra Tembeling, Zamri Mohd Amin, 46, berkata, penduduk tidak berpuas hati kerana Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) tidak serius tangani isu air ini.

Menurutnya, walaupun sudah berkali-kali aduan dibuat kepada pihak terbabit namun maklum balas yang diterima amat mengecewakan.

“Saya sudah beberapa kali menghubungi mereka tetapi pelbagai alasan diberikan, malah panggilan telefon juga tidak dijawab walaupun dihubungi beberapa kali.

“Kalau mereka mengambil masa sehari dua untuk menjalankan kerja membaiki, kami masih boleh terima tetapi kini dah masuk lima hari, takkan paip bocor itu masih tidak dapat dibaiki,” katanya.

Bagi mengatasi masalah itu, menurutnya, penduduk terpaksa kembali menggunakan air bukit bagi menjalani rutin harian.

“Penduduk terpaksa masuk hutan untuk melihat saluran paip itu dan mendapati terdapat empat tempat berlaku kebocoran. Kami terpaksa meredah hutan untuk membaiki sendiri kebocoran itu dan membersihkan kawasan takungan bagi mengatasi masalah saluran tersumbat,” katanya.

Zamri berkata, walaupun kerja itu dijalankan secara gotong royong, kami dapat membaikinya dalam masa sehari berbanding Paip yang menggunakan peralatan lengkap namun masih lagi belum dapat membaiki kebocoran itu.

Justeru itu, penduduk minta Paip bertindak lebih proaktif dan profesional dalam usaha menyelesaikan masalah air ini memandangkan masalah paip bocor ini adalah di bawah tanggungjawab pihak terbabit.

No comments:

Post a Comment