Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@bharian.com.my
2010/06/23
HIDAYAH menunjukkan gambar suaminya, Muhamad Zulkifli yang ditahan oleh pihak berkuasa Mesir.
KUALA LUMPUR: Isteri kepada pelajar Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Mesir sejak 10 hari lalu, merayu bantuan Wisma Putra bagi mengetahui punca penahanan serta status sebenar keadaan suaminya yang ditahan di penjara negara itu.Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Hidayah, 33, berkata hanya mengetahui suaminya, Muhamad Zulkifli Mohamad Zakaria, 41, ditahan di penjara Mesir melalui seorang rakan di negara berkenaan selepas tiga hari beliau dan dua anak pulang ke Malaysia.“Sehingga hari ini (semalam), genap 10 hari suami saya ditahan dan tiada sebarang berita dimaklumkan oleh mana-mana pihak berhubung status penahanannya.
“Sehubungan itu, saya merayu bantuan Wisma Putra bagi membantu membebaskan suami saya secepat mungkin kerana sehingga kini saya sendiri tidak tahu kenapa dan atas sebab apa dia ditahan pihak berkuasa Mesir,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.
Muhamad Zulkifli yang baru menamatkan peperiksaan peringkat Sarjana ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Mesir pada 13 Jun lalu, ketika melalui pemeriksaan Imigresen untuk menaiki penerbangan pulang ke Malaysia.
Difahamkan, penahanan dibuat berikutan Muhamad Zulkifli pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Malaysia kerana disyaki terbabit dengan Kumpulan Militan Malaysia (KKM) pada 2001.
Katanya, rakan suaminya yang cuba mendapatkan penjelasan dengan pihak berkuasa Mesir berhubung penahanan itu juga gagal, sebaliknya hanya mengesahkan berada dalam penjara, namun sebab ia ditahan tidak boleh didedahkan.
“Ketika hari kedua ditahan, suami sempat menghubungi rakannya di Mesir memaklumkan sudah dua hari tidak menjamah sebarang makanan.
“Kelmarin, saya sendiri sudah bertemu Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman untuk mendapatkan perkembangan terkini suami dan menteri memaklumkan akan mendapatkan penjelasan dan meminta pembebasan dilakukan dalam tempoh terdekat,” katanya.
Hidayah berkata, tujuan mereka sekeluarga ke negara terbabit sejak sebulan lalu hanya bertujuan menemani suami bagi menduduki peperiksaan akhir tanpa sebarang tujuan tertentu.
“Ketika berada di Lapangan Terbang sebelum berlepas pulang, saya tidak nampak sebarang tanda suami akan ditahan sebelum melalui pemeriksaan Jabatan Imigresen,” katanya.
mengatakan dan salah seorang anggota mengatakan suami perlu ditahan untuk sementara waktu bagi untuk siasatan.
“Saya yang pulang dulu atas arahan suami terpaksa akur dan ketika berangkat pulang ke Malaysia, saya hanya dijanjikan oleh anggota terbabit bahawa suami akan menyusul pulang menggunakan penerbangan lain,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Kedutaan Malaysia di Mesir ketika dihubungi, berkata pihaknya sudah menemui Muhamad Zulkifli beberapa hari lalu dengan bantuan pihak berkuasa negara itu, namun tidak dijelaskan motif sebenar penahanan itu dilakukan.
Katanya, pihaknya juga tidak tahu berapa lama Muhammad Zulkifli akan ditahan, namun siasatan terhadapnya masih dijalankan dan mangsa kini di tempatkan di satu lokasi rahsia.
No comments:
Post a Comment