Sunday, September 4, 2011

Perlu bantuan


ROSLINA Che Ros bersama Khalib Yahya serta anak mereka, Mohd Azizi melihat gambar-gambar yang pernah disiarkan dalam akhbar ketika ditemui di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, baru baru ini. - MINGGUAN/ SAZALI CHE DIN




BUKIT MERTAJAM 3 Sept. - Masih ingatkah anda kepada Mohd. Azizi Khalib, remaja yang terselamat daripada kemalangan tragis pada 2009, tetapi terpaksa menempuh penderitaan termasuk hilang ingatan selepas sebahagian daripada tempurung kepalanya terpaksa dibuang.
Selepas berjaya melepasi saat-saat genting pembedahan memasang tempurung kepala pada 6 Julai 2009, harapan Mohd. Azizi, 19, untuk pulih kembali cerah sekali gus menceriakan seluruh ahli keluarganya.
Bagaimanapun, selepas dua tahun berlalu, keluarga remaja malang ini kembali dalam dilema apabila dimaklumkan tempurung kepala yang dipasang tidak dapat berfungsi dengan baik dan terpaksa diganti dengan tempurung palsu.
Ibu Azizi, Roslina Che Ros, 41, berkata, berita terbaharu itu membuatkan dia bingung memikirkan nasib anaknya itu.
"Azizi sepatutnya menjalani pembedahan itu pada Jun lalu, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana kami tidak mampu menyediakan wang pendahuluan RM2,000 untuk menampung kos pembedahan.
"Sebelum ini saya telah membuat permohonan meminta bantuan kepada Pusat Urus Zakat (PUZ) Pulau Pinang, tetapi sehingga kini saya tidak tahu apa perkembangannya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Petani di sini, baru-baru ini.
Utusan Malaysia pernah menyiarkan kisah Azizi yang cedera parah setelah motosikal yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 3 Mac 2009 sehingga menyebabkan dia mengalami pendarahan otak sebelum tempurung kepalanya terpaksa dibuang.
Ketika ramai tidak yakin Azizi mampu bertahan, remaja itu berjaya menjalani pembedahan kritikal memasang semula tempurung kepalanya di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada Jun 2009 sehingga dia dikenali dengan julukan remaja 'kepala ajaib'.
Roslina memberitahu, doktor dari HPP masih belum memutuskan berapakah kos terkini bagi pembedahan tersebut kerana tarikh baru untuk membolehkan Azizi dibedah belum ditentukan lagi.

No comments:

Post a Comment