GEORGETOWN - Sukar dibayangkan apabila seorang nenek yang menetap di sebuah rumah berhampiran anak sungai di Kampung Lembah Ria, Jalan Air Itam, dekat sini, terpaksa menahan bau busuk berikutan sungai yang dicemari dengan sampah-sarap dan berkeladak.
Itulah yang terpaksa dihadapi Siti Zainab Mad Nor, 77, sejak beberapa tahun lalu apabila air sungai yang terletak kurang 20 meter dari rumahnya berbau busuk setiap hari sehingga menyebabkan seluruh isi rumahnya berasa kurang selesa.
Zainab yang tinggal bersama dua orang anak di kediaman miliknya itu berkata, air sungai biasanya akan berbau pada tengah hari dan petang namun akan lebih berbau busuk apabila musim hujan.
Katanya, air dari anak sungai yang mengalir itu datangnya daripada kawasan perumahan yang terdekat iaitu sekitar Paya Terubong, Jalan Air Itam dan Bandar Baru Farlim.
Zainab juga mendakwa kurang pasti nama sebenar anak sungai itu dan hanya dikenali sebagai Sungai Lembah Ria sejak sekian lama.
“Bau busuk air sungai itu boleh dihidu dari jarak 50 meter pada hari biasa dan 100 meter jika pada hari hujan. Bagi keluarga kami, perkara itu memang sudah biasa tetapi malu juga pada tetamu yang bertandang ke rumah apabila air sungai itu tiba-tiba berbau busuk.
“Lihat saja air sungai yang berwarna hitam dan sampah sarap yang terapung di dalamnya. Juga terdapat plastik yang menakung air, tin, bangkai haiwan dan lain-lain lagi. Bukankah barangan berkenaan boleh menyebabkan penyebaran penyakit bawaan air dan pembiakan nyamuk Aedes?” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Zainab juga mendakwa, sikap penduduk yang tidak menjaga kebersihan persekitaran dan membuang sampah ke dalam sungai juga menyebabkan masalah itu berlaku.
“Penduduk tidak sedar bahawa sikap mereka akan menyebabkan kami sekeluarga dan beberapa keluarga lain yang menetap di sepanjang anak sungai ini menjadi mangsa dan terpaksa menghidu bau busuk walaupun ketika sedang menjamu selera.
“Mungkin mereka tidak berada di tempat kami. Dahulu, sebelum perumahan didirikan di kawasan berhampiran, sungai ini sangat bersih dan bebas daripada pencemaran. Namun kini, hanya tinggal kenangan,” katanya.
Zainab juga berharap agar Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) berkunjung ke anak sungai terbabit bagi melihat sendiri masalah yang sudah lama ditanggung mereka demi mewujudkan negeri Pulau Pinang sebagai negeri hijau.
Tinjauan Sinar Harian mendapati dakwaan Zainab itu benar apabila air anak sungai itu memang berbau busuk pada waktu tertentu dan tidak menyenangkan.
Manakala sampah-sarap juga kelihatan terapung dalam air sungai berkenaan serta airnya berwarna hitam akibat daripada pencemaran sekali gus mendatangkan kesan bau kepada kurang daripada 10 keluarga yang menetap di sepanjang sungai.
No comments:
Post a Comment