BATU PAHAT 17 Jun - Busuk dan meloyakan!
Itulah yang dialami kira-kira 100 penduduk Taman Sri Sulong dekat sini sejak 10 tahun lalu kerana terpaksa menghidu bau busuk dipercayai berpunca dari pusat penyembelihan dan memproses ayam berhampiran.
Penduduk mendakwa pusat berkenaan terlalu hampir iaitu kira-kira 30 meter sahaja dari kediaman mereka.
Utusan Malaysia dimaklumkan, ahli jawatankuasa penduduk taman berkenaan telah membuat aduan dan merayu supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) memindahkan pusat terbabit ke kawasan lain kerana menimbul bau busuk setiap hari.
Seorang penduduk, Norliza Shukor, 32, yang baru dua bulan tinggal di rumah yang baru dibelinya berkata, setiap hari mereka sekeluarga menghidu bau busuk yang datang dari pusat penyembelihan dan memproses ayam yang terletak bertentangan rumahnya.
"Tetapi sejak kilang itu memindahkan tempat menyembelih, bau busuk itu kurang sedikit tetapi orang yang dekat dengan tempat penyembelihan pula menjadi mangsa," katanya
Katanya, bau busuk itu tetap 'datang' kerana air untuk memproses ayam dibuang dan mengalir ke dalam longkang besar di hadapan rumah penduduk di situ.
Seorang peniaga kedai runcit yang hanya mahu dikenali sebagai Heng mengakui masalah itu telah berlarutan terlalu lama dan penduduk sering kali mengadu kepada PBT namun hingga kini tiada sebarang tindakan diambil.
"Kami sudah tidak boleh buat apa-apa, masalah ini tidak selesai hingga kini terpaksalah hidu bau busuk setiap hari," katanya.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kedudukan pusat itu terlalu hampir dengan kawasan perumahan dan sisa buangan disalurkan terus ke longkang besar.
No comments:
Post a Comment