Tuesday, September 21, 2010

Malaysia-Singapura sepakat


SINGAPURA - Malaysia dan Singapura bersetuju untuk membawa isu tertangguh berhubung bayaran bagi pembangunan tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di republik ini, yang akan dimajukan secara bersama oleh kedua-dua negara, ke Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa. 

Kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatan beliau dari Singapura Lee Hsien Loong di Istana di sini, semalam menyebut bahawa kedua-dua pemimpin itu bersetuju menyelesaikan isu berkenaan secara baik melalui timbang tara di bawah naungan Mahkamah Timbang Tara Tetap. 

Kenyataan itu berkata, kedua-dua negara mempunyai pandangan berbeza tentang caj yang perlu dibayar melibatkan Perkara-Perkara yang Dipersetujui (POA) berhubung bayaran bagi tiga bidang tanah berkenaan di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands. 

Tanah terbabit dijangka dimajukan sebuah syarikat usaha sama 60-40, M-S Pte Ltd, yang akan ditubuhkan antara Khazanah Nasional Berhad dari Malaysia dan Temasek Holdings Ltd dari Singapura. 

Najib dan Hsien Loong juga bersetuju menerima keputusan mahkamah berkenaan sebagai keputusan muktamad dan perlu dipatuhi. 

Adalah difahamkan caj pembangunan, yang dikenakan terhadap mana-mana pihak yang ingin memajukan sebarang tanah di Singapura, adalah besar jumlahnya sekiranya tiga bidang tanah berkenaan ingin dibangunkan. 

Perkara yang menjadi persoalan sekarang ialah berdasarkan POA yang dimeterai oleh kedua-dua negara pada 1990, fasal tentang siapa yang perlu membayar caj pembangunan tidak begitu jelas. 

Singapura membuat tafsiran bahawa syarikat yang akan memajukannyalah yang perlu membayar caj itu, manakala Malaysia pula berpendapat tiada sebarang kos perlu dijelaskan. 

Bagaimanapun, Najib dan Hsien Loong bersetuju bahawa proses timbang tara berkenaan perlu mengikut laluannya sendiri dan tidak sepatutnya menjejaskan pelaksanaan POA terbabit serta inisiatif dua hala lain yang telah dipersetujui sebelum ini dalam rundingan pertama mereka di sini pada 24 Mei lalu. 

Dalam rundingan itu, Malaysia bersetuju memindahkan stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Tanjong Pagar, ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands menjelang 1 Julai tahun depan, manakala tiga bidang tanah berkenaan akan diserahkan kepada M-S Pte Ltd untuk dimajukan secara bersama serta menukar beberapa keping tanah di Marina South dan Ophir-Rochor. - Bernama

No comments:

Post a Comment