SALAM MUHIBAH: Encik Lee Hsien Loong (kanan) dengan Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju untuk membangunkan enam bidang tanah di Marina South dan Ophir-Rochor bagi manfaat kedua-dua negara. – Foto AFP SINGAPURA Tapak di Marina South, Ophir-Rochor sebagai ganti tanah di Tg Pagar, Kranji, Woodlands dan Bukit Timah Oleh Chairul Fahmy Hussaini PERSETUJUAN mengenai soal tukar tanah melibatkan laluan Keretapi Tanah Melayu (KTM) diselesaikan semalam dengan Singapura menawarkan enam bidang tanah di Marina South dan Ophir-Rochor. Ini sebagai ganti kepada penyerahan tiga bidang tanah KTM di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands dan tiga bidang tanah lagi di Bukit Timah.Malaysia menerima tawaran tersebut.Bagi memastikan faedah hasil langkah tukar tanah itu dapat dinikmati sepenuhnya, ia akan dibangunkan secara bersama menerusi syarikat usaha sama Singapura-Malaysia, M-S Pte Ltd, sebaik-baik sahaja syarikat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengosongkan Stesen Kereta Api Tanjong Pagar dan berpindah ke Pusat Pemeriksaan Imigresen Woodlands mulai 1 Julai tahun depan.Butir-butir tersebut diumumkan kepada pihak media selepas pertemuan antara Perdana Menteri Lee Hsien Loong dengan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, di Istana semalam.Kedudukan keenam-enam bidang tanah itu amat strategik.Empat bidang tanah di Marina South terletak di tengah-tengah kelompok pusat kewangan dan perniagaan di Marina Bay dan tidak jauh daripada resort bersepadu (IR) Marina Bay Sands.Dua bidang tanah yang ditawarkan di Ophir-Rochor pula terletak bersebelahan Kawasan Bersejarah Kampong Glam - dalam lingkungan satu koridor baru yang sedang dibangunkan sebagai lanjutan kepada Kawasan Pusat Bandar (CBD) negara ini.Dalam sidang media semalam, kedua-dua pemimpin menekankan matlamat untuk 'melaksanakan dengan jayanya apa yang telah dipersetujui dan mempereratkan lagi hubungan dua hala'.Encik Lee berkata: 'Saya fikir apa yang dicapai ini telah dapat menyelesaikan perkara yang berbangkit sejak 20 tahun lalu.'Ia adalah satu perkara yang amat memuaskan bagi saya dan Perdana Menteri Mohd Najib di mana kami berjaya mencapai ke tahap ini, yang membolehkan kami melangkah ke depan dan bekerjasama dalam bidang yang lebih luas.'Menyetujui hal itu, Datuk Seri Mohd Najib berkata beliau percaya persetujuan yang dicapai itu amat berfaedah kepada kedua-dua pihak.'Ia adalah satu peningkatan daripada versi asal POA (butiran perjanjian) yang sekali gus menggambarkan iltizam pemerintah Singapura dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong sendiri dalam memastikan perjanjian ini bukan sekadar satu perjanjian yang betul dari segi undang-undang, malah dari segi politik, yang mana ia diterima oleh keduadua rakyat Malaysia dan Singapura...'Secara asasnya, kami inginkan perjanjian yang dapat bertahan dalam menghadapi ujian masa.'Jadi kami percaya perjanjian ini akan diterima dengan baik, bukan hanya sekarang, malah pada masa hadapan.'Jika kita mempunyai perjanjian yang hanya berteraskan undang-undang, tanpa mengambil kira keperluan menyeluruh, perjanjian sedemikian nanti boleh dikritik pada masa depan.'Tetapi apa yang dicapai hari ini, saya yakin, dapat bertahan dalam menghadapi ujian masa,' kata beliau.Ini merupakan pertemuan ketiga kedua-dua pemimpin itu sejak Mei lalu bagi menghuraikan isu-isu menyentuh POA yang berbangkit sejak 20 tahun lalu.Datuk Seri Mohd Najib datang ke republik ini dalam bulan itu, sebelum Encik Lee menemuinya di Putrajaya pada bulan berikutnya bagi membincangkan soal penukaran tanah dan persetujuan hanya dicapai di sini semalam.Bagaimanapun, Singapura dan Malaysia gagal mencapai persetujuan berhubung isu caj pembayaran bagi pembangunan tanah di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands.Oleh kerana itu, kedua-dua pemimpin bersetuju merujuk hal tersebut ke Mahkamah Tetap Timbang Tara Antarabangsa di The Hague, Belanda.Ditanya tentang hal tersebut, Encik Lee berkata pihaknya merasakan bahawa caj pembayaran itu perlu dibuat tetapi Malaysia menyatakan sebaliknya.'Ia bukan satu isu yang boleh dihuraikan secara asal boleh, jadi kami memutuskan bahawa cara terbaik adalah dengan merujukkannya ke pusat timbang tara dan mencapai penyelesaian yang boleh diterima kedua-dua pihak,' terangnya sambil menambah bahawa keputusan yang dicapai menerusi timbang tara tidak akan menjejas pelaksanaan POA dan inisiatif-inisiatif lain seperti yang terkandung dalam Kenyataan Bersama bertarikh 24 Mei lalu.Selain isu tanah, kedua-dua pemimpin turut bersetuju bahawa Pasukan Pelaksanaan Bersama harus menamatkan perbincangan mereka pada 31 Disember ini menyentuh butir-butir pelaksanaan POA. Kata sepakat Singapura dan Malaysia |
Tuesday, September 21, 2010
Tukaran tanah libatkan laluan KTM disetujui
Labels:
ktmb
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment