Thursday, September 8, 2011

Barang kemas Elizabeth Taylor akan dilelong


CINCIN berlian Elizabeth Taylor berharga RM7.4 juta hingga RM10.4 juta.

NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) – Firma lelongan AS, Christie akan menjual koleksi penuh barang kemas milik pelakon legenda Hollywood, mendiang Elizabeth Taylor dalam satu lelongan di sini.
Koleksi bernilai jutaan dolar AS tersebut yang akan dilelong pada 13 dan 14 Disember depan melibatkan tiara, rantai leher, gelang tangan dan cincin berlian.
Antara barang kemas yang bakal menarik perhatian pembeli termasuk sebentuk cincin berlian seberat 33.19 karat yang dianggarkan berharga antara AS$2.5 juta (RM7.4 juta) hingga AS$3.5 juta (RM10.4 juta).
Cincin tersebut dihadiahkan kepada aktres itu oleh aktor legenda Hollywood, Richard Burton yang merupakan bekas suaminya.
Seutas loket bertatahkan mutiara, berlian dan delima dari abad ke-16 dikenali sebagai La Peregrina dianggarkan berharga antara AS$2 juta (RM5.9 juta) hingga A$3 juta (RM8.9 juta) akan juga dilelong.
Turut akan dilelong ialah seutas rantai berlian berharga di antara AS$200,000 (RM596,800) hingga AS$300,000 (RM895,349) yang dihadiahkan oleh bekas suaminya, Mike Todd dan rantai leher berlian bertatahkan zamrud yang tidak dinyatakan harganya.
Selain itu, Christie akan juga melelong sebentuk kerongsang yang dianggarkan berharga di antara AS$400,000 (RM1.19 juta) hingga AS$600,00 (RM1.7 juta), sebuah tiara berharga di antara AS$60,000 (RM178,920) hingga AS$80,000 (RM238,759) gelang tangan berharga di antara AS$12,000 (RM35,784) hingga AS$15,000 (RM44,767), seutas rantai emas gading dari kurun ke-19 yang berharga di antara AS$1,500 (RM4,476) hingga AS$2,000 (RM5,969) dan sepasang anting-anting bernilai di antara AS$100,000 (RM298,449) hingga AS$150,000 (RM447,674) serta barang kemas loket bertatahkan berharga di antara AS$70,000 (RM208,740) hingga AS$100,000 (RM298,449).
Elizabeth yang meninggal dunia pada 23 Mac lalu ketika berusia 79 tahun kerana kegagalan jantungnya berfungsi telah membintangi lebih 54 buah filem sejak dia berusia seawal 12 tahun.
Sepanjang hidupnya, aktres berkenaan pernah berkahwin sebanyak lapan kali termasuk dengan Burton, penyanyi Eddie Fisher, aktor Michael Wilding dan penerbit filem Michael Todd. – Agensi

No comments:

Post a Comment