Tuesday, July 31, 2012

Inspektor didakwa



Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my
         
SEREMBAN: Seorang pegawai polis berpangkat inspektor dihadapkan ke tiga Mahkamah Majistret di sini semalam, bagi menghadapi enam tuduhan termasuk memukul dan mengugut dua pekerja hotel serta memecahkan dua kereta orang awam, bulan lalu.

Mohd Azuan Yasin, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap enam dakwaan itu apabila jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan terhadapnya di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh, Majistret Haslina Basarudin dan Majistret S Megaswary.


Bagi tuduhan pertama dan kedua di hadapan Mohamad Izwan, dia didakwa dengan sengaja mencedera dan menakutkan Mohamed Nadzeem Zainal Larifin, 25, menggunakan objek menyerupai pistol di Hotel S2 di sini, jam 2.50 pagi, 17 Julai 2012.

Pada tarikh sama, dia didakwa memecahkan cermin tingkap kereta jenis Perodua Kancil milik Tan Chee Luan, 25, menyebabkan kerugian RM150 di kedai kopitiam berhampiran Temiang di sini, jam 5.45 pagi.


Bagi tuduhan keempat dan kelima di hadapan Haslina, dia yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban didakwa mencedera dan menakutkan Koh Wen Gio, 32, menggunakan objek menyerupai pistol di Hotel S2 di sini, jam 2.50 pagi, 17 Julai 2012.


Bagi tuduhan keenam di hadapan S Megaswary, dia dituduh memecah cermin tingkap belakang kereta milik Tan Chee Hold, 32, menyebabkan kerugian RM180 pada jam 5.45 pagi di tempat dan tarikh sama.

Bagi tuduhan mencedera, Mohd Azuan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun manakala tuduhan menakutkan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Bagi kesalahan memecah cermin kereta, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.


Mohd Azuan dibenar diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin bagi semua enam tuduhan berkenaan dan tarikh sebutan semua kes ditetapkan 13 September depan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala tertuduh diwakili peguam bela Hanif Hassan.


Sementara itu, Haslina dan Mohamad Izwan memerintah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tersebar luas di Youtube bertajuk ‘Polis memukul pekerja hotel di Seremban’ selama tiga minit 41 saat dikeluarkan serta-merta dari laman berkenaan.

No comments:

Post a Comment