Thursday, January 27, 2011

Artis bantu mangsa renjatan elektrik



Masyarakat sering dipaparkan kisah glamor artis dengan kehidupan digambarkan sibuk memenuhi tawaran persembahan nyanyian atau lakonan.

Sekalipun sibuk, namun artis turut meluangkan masa menyertai aktiviti kebajikan.

Terbaru, penderitaan mangsa renjatan elektrik, Muhamad Hairuman Miskon, 22, turut mendapat perhatian artis yang menyertai program gotong-royong di rumah mangsa.

Muhamad Hairuman kehilangan kedua belah tangannya, kini masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Barisan artis menyertai aktiviti kebajikan itu, Dafi, Zehra Zambri, Dior, Sofaz, Sabhi Saddi, Zul (2by2), Isma (AF) dan Fida.

Mereka meringankan tulang bersama orang kampung membaiki rumah Muhamad Hairuman dan membersihkan persekitaran halamannya.

Penganjuran gotong-royong itu adalah usaha Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias; portal murai.com.my; Majlis Belia Malaysia; Kelab Warisan Tanjung Karang; Majlis Belia Kuala Selangor dan Puteri UMNO Tanjong Karang.



Ringankan beban: Fida

Bagi pelakon yang kini menceburi bidang nyanyian, Fida berkata, aktiviti kebajikan disertai artis sedikit sebanyak membantu Muhamad Hairuman meringankan bebannya.

Menurutnya, golongan artis perlu turun padang menyertai aktiviti kebajikan untuk membantu mangsa bencana yang memerlukan, walaupun bantuan dihulurkan tidak seberapa.

“Program amal melibatkan artis perlu dilakukan lebih kerap.

“Mungkin ada artis berminat menyertai program ini, tetapi tidak mendapat maklumat. Jika liputan atau maklumat berkaitan aktiviti kebajikan diberikan secara menyeluruh, Fida yakin ramai artis akan menyertainya,” katanya.



Artis contoh terbaik: Dafi

Penyanyi Bila Terasa Rindu, Dafi menyifatkan, penglibatan artis mampu memberi contoh baik kepada masyarakat.

“Artis mempunyai pengaruh tersendiri kepada masyarakat. Apabila masyarakat melihat artis melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh, mungkin mereka tergerak hati untuk membantu.

“Sebelum ini, Dafi pernah terlibat beberapa aktiviti kebajikan dan tidak akan melepaskan peluang menyertainya pada masa hadapan,” katanya.



Bantu golongan kurang mampu: Dior

Sementara itu, penyanyi Dior mengakui sedih melihat keadaan Muhamad dan berharap Muhamad Hairuman sentiasa tabah mengharungi hidup selepas keluar dari hospital kelak.

Baginya, aktiviti itu harus dijadikan acara berterusan kerana dapat membantu golongan kurang berkemampuan.

“Mohd Hairuman beruntung kerana masih ramai yang mengambil berat terhadap keadaannya. Ini kerana, lebih ramai insan mengalami nasib malang dan Dior doakan Mohd Hairuman tidak putus asa dan menganggap peristiwa yang menimpanya ada hikmah tertentu,” katanya.

No comments:

Post a Comment