Saturday, February 12, 2011

Mangsa renjatan elektrik beransur pulih




SHAHRIZAT Jalil menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada Muhamad Hairuman Miskon yang terkena renjatan elektrik di Hospital Besar Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 11 Feb. - Kesihatan mangsa renjatan elektrik bervoltan tinggi, Muhamad Hairuman Miskon, 22, semakin positif sejak dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 30 Januari lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, Muhamad Hairuman kini semakin ceria dan sudah mampu menggerakkan tangannya.
"Saya yakin ketabahan Hairuman dan penjagaan rapi oleh kakitangan HKL telah membantu mempercepatkan proses penyembuhannya.
"Hairuman memberitahu saya bahawa dia perlu cekal untuk meneruskan hidup. Dia turut menyatakan penghargaannya kepada hospital dan semua pihak yang tidak putus-putus memberi bantuan," katanya.
Shahrizat yang juga Presiden Yayasan Kebajikan Negara (YKN) berkata demikian kepada pemberita selepas meluangkan masa melawat Muhamad Hairuman di Unit Rawatan Kebakaran HKL.
Hampir seluruh tubuh pemuda itu melecur teruk selepas terkena renjatan elektrik bervoltan tinggi ketika mengait buah kelapa sawit di sebuah kebun di Sungai Tengi Kanan Darat, Tanjong Karang, Selangor pada 26 November lalu.
Kecederaan yang dialami pemuda itu menyebabkan kedua-dua belah tangan serta kaki kirinya terpaksa dipotong apabila doktor mendapati anggota tersebut tidak boleh diselamatkan lagi.
Pada pertemuan tersebut, Shahrizat turut memaklumkan bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah meluluskan bantuan RM300 sebulan di bawah Skim Orang Kurang Upaya bermula bulan lalu untuk Muhamad Hairuman.
Shahrizat turut menyampaikan sumbangan RM2,000 daripada YKN kepada kakak pemuda tersebut, Maryuni Miskon.
Menurutnya, JKM juga akan membantu menanggung kos kaki dan tangan palsu apabila kecederaan yang dialami oleh pemuda itu pulih sepenuhnya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif HKL, Dr. Normala Basiron berkata, sehingga kini, pihaknya masih belum dapat mengesahkan sampai bilakah Muhamad Hairuman akan ditempatkan di Unit Rawatan Kebakaran berkenaan.
Bagaimanapun katanya, tahap kesihatan pemuda itu kini beransur pulih dan sudah berupaya untuk duduk selepas kaki kirinya dipotong bagi mengawal jangkitan daripada terus merebak ke anggota badan yang lain.
"Dia masih memerlukan penjagaan rapi dan pada masa sama, kami berusaha membina semula otot-ototnya dengan memberi rawatan fisioterapi secara berterusan selain penjagaan makanan.
"Sehubungan itu, kami mengharapkan orang ramai terus memberi sokongan moral dan peluang kepada Hairuman untuk bekerja selepas dia pulih sepenuhnya nanti," katanya.
Selain Jabatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif, terdapat lima jabatan yang turut terlibat dalam usaha merawat dan memulihkan pemuda tersebut.
Ia meliputi Jabatan Ortopedik dan Traumatologi; Jabatan Fisioterapi, Jabatan Kaunseling, Jabatan Sains Makanan dan Perkhidmatan Makanan serta Jabatan Kerja Sosial.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

No comments:

Post a Comment